Bantuan kepada keluarga aktivis GSF 2.0 disalurkan berdasarkan keperluan
- Suara Keadilan

- 2 days ago
- 1 min read

Bantuan kebajikan dan sokongan kepada ahli keluarga rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 akan disalurkan dengan mengambil kira keperluan bersesuaian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan (gambar) berkata, kerajaan sentiasa bersedia untuk membantu dari segi kebajikan dan kewangan, dengan menilai setiap aspek termasuk potensi pelaksanaan agar bantuan lebih teratur, berkesan dan menepati sasaran.
"Kerajaan dan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) memberikan sokongan penuh kepada program GSF dan pada pelaksanaan sebelum ini, kerajaan telah menyalurkan sokongan serta bantuan (kepada ahli keluarga mereka terlibat).
"Beberapa siri perbincangan dengan Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby sudah diadakan bagi menilai keperluan serta kesesuaian bantuan diperlukan. InsyaAllah, kita akan membantu sebaiknya," katanya dipetik.
Dr Zulkifli ditemui pemberita selepas hadir ke Majlis Penyerahan Rumah Bina Baharu Program Sinar Lestari YAPEIM-Yayasan Diraja Sultan Mizan di Kampung Tok Dor Dalam di Jertih.
Dalam perkembangan berkaitan, semua 10 delegasi Malaysia yang dibebaskan daripada tahanan Israel, Jumaat lalu diberi masa sehingga hari ini untuk memutuskan sama ada mahu meneruskan pelayaran misi kemanusian tersebut.
Chef de Mission Sumud Nusantara, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, sekiranya aktivis Malaysia ingin meneruskan pelayaran, dijangka mereka akan bersama dengan aktivis dari pelbagai negara yang dijangka akan mula berlayar semula ke Gaza seawal hari ini atau esok.
"Kita beri hak untuk mereka sendiri buat keputusan nak teruskan atau sebaliknya. Ini kerana mereka baru sahaja melalui situasi sukar, kapal dipintas Israel dan pelbagai pengalaman lain," katanya.




Comments