top of page

Bantuan Kasih Johor: Perlu lebih mesra rakyat, bukan sekadar simbolik

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • May 24
  • 2 min read

Updated: May 25


Konsep 'kebersamaan' dalam membantu rakyat Johor tidak seharusnya terhad kepada program Bantuan Kasih Johor (BKJ) semata-mata, sebaliknya perlu menjadi amalan berterusan wakil rakyat kerajaan.


Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Tebrau, Jalex Lee berlata, pelaksanaan bantuan BKJ pula seharusnya lebih dekat dengan rakyat dan tidak wajar memaksa penerima hadir ke satu lokasi tertentu hanya untuk tujuan acara atau simbolik Kerajaan Negeri.


"Jika benar mahu mengangkat semangat kebersamaan, pelaksanaannya juga perlu memudahkan rakyat. Bantuan tidak sepatutnya memaksa semua penerima berkumpul di satu lokasi tertentu," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau memberi contoh situasi di Taman Gaya, di mana penerima diminta hadir ke kawasan DUN Larkin untuk mengambil bantuan, selain isu di DUN Tiram apabila agihan dibuat di lokasi yang menyukarkan sebahagian penerima dari kawasan luar bandar di Ulu Tiram.


"Keadaan ini menunjukkan masih wujud jurang dalam memahami realiti dan kesukaran rakyat di lapangan," ujarnya.


Tambah beliau, kebersamaan sebenar bukan sekadar slogan tetapi melibatkan usaha memastikan setiap suara rakyat didengari dan setiap kawasan diberi perhatian tanpa mengira latar belakang atau lokasi.


Dalam masa sama, beliau juga mengkritik pendekatan yang mengaitkan pemberian bantuan tunai sebagai simbol kebersamaan dengan Kerajaan Negeri.


"Sebagai wakil rakyat, turun padang dan bersama rakyat adalah tanggungjawab asas yang perlu dilaksanakan setiap masa, bukan hanya ketika ada bantuan untuk diagihkan


"Jika kebersamaan hanya muncul ketika BKJ diberikan, ini memberi gambaran yang membimbangkan terhadap budaya politik hari ini. Adakah tanpa BKJ, wakil rakyat tidak perlu mendengar denyut nadi rakyat?" soalnya.


Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa rakyat kini mahukan pendekatan politik yang lebih matang dan berasaskan penyelesaian.


"Tugas ahli politik bukan sekadar menyampaikan slogan, tetapi membawa dasar yang membantu rakyat serta mencari penyelesaian terbaik selepas mendengar suara rakyat secara menyeluruh," katanya lagi.


Untuk rekod, semua Bangsa Johor yang berkelayakan akan diberikan inisiatif BKJ Fasa 4 di bawah Kerajaan Negeri mulai 14 - 30 Mei ini.


BKJ kali ini diberi secara langsung oleh wakil rakyat dan tidak secara kredit ke akaun penerima sebagaimana sebelumnya.


Hal itu, dikatakan untuk memberi peluang kepada pemimpin UMNO-BN turun padang, berdamping dan berjumpa sendiri dengan rakyat agar rakyat kenal ADUN, Ahli Majlis, Ketua Kampung dan sebagainya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page