Bantu organisasi media: PM umum teruskan Dana Inovasi
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Kerajaan MADANI bersetuju meneruskan Dana Inovasi Media bertujuan membantu organisasi media tempatan melaksanakan inovasi dan pengukuhan operasi transformasi digital.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan perkara itu menerusi ucapan pada Majlis Kemuncak HAWANA 2026 di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth
"Kita menyediakan peruntukan dan seboleh mungkin dana itu digunakan. Kemudian, kita tambah supaya tabung itu tidak akan diganggu atau kekurangan.
"Jadi, ini berita baik untuk kita. Jalankanlah kerja baik," katanya dipetik media tempatan.
Pada acara itu beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta kepada Tabung Kasih@HAWANA sebagai sokongan berterusan terhadap kebajikan pengamal media di negara ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, pentadbirannya pada tahun lalu telah memperuntukkan RM30 juta bagi Dana Inovasi Media.
Sehingga kini jelasnya, sebanyak 72 syarikat media sudah menerima pembiayaan keseluruhan berjumlah RM24.57 juta daripada dana itu.
Selain menyokong transformasi industri media, dana turut memberi tumpuan kepada latihan pengamal media, penghasilan kandungan kreatif dan interaktif, serta usaha memperkukuhkan penyampaian maklumat yang tepat dan relevan kepada rakyat.
Sementara itu menerusi ucapannya, Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh pengamal media tempatan khususnya yang melaksana tanggungjawab berlandaskan etika dan integriti tinggi dalam menyampaikan maklumat.
Beliau berkata, sementara kebebasan bersuara dan penyampaian maklumat dipertahankan, ia mesti diseimbangkan dengan tanggungjawab serta berteraskan etika bagi memastikan maklumat yang disampaikan tepat, sahih dan bertanggungjawab.
"Saya harus sampaikan terima kasih dan menghargai jasa khidmat berpanjangan rakan-rakan pengamal media di Malaysia," katanya.




Comments