top of page

Banjir Nepal-China: PM arah sedia bantuan buat rakyat Malaysia

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • 4 hours ago
  • 1 min read
Banjir buruk di sempadan Nepal-China: Foto kredit: NBC News
Banjir buruk di sempadan Nepal-China: Foto kredit: NBC News

Perdana Menteri (PM) mengarahkan supaya segala keperluan bantuan disediakan bagi mencari dan membantu rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir kilat di kawasan sempadan Nepal-China.


Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi satu kenyataan berkata, Kedutaan Malaysia di Kathmandu kini bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan bagi membantu rakyat Malaysia yang terkesan bencana berkenaan.


"Pegawai daripada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka turut dikerahkan untuk memperkukuh usaha ini di lapangan.


"Saya telah mengarahkan supaya misi kita dibekalkan dengan setiap sumber yang diperlukan. Kerajaan akan terus terlibat sepenuhnya sehingga semua rakyat Malaysia yang terjejas dikenal pasti dan keluarga mereka mendapat sokongan yang diperlukan," katanya.


Menerusi kenyataan sama beliau turut menzahirkan rasa amat dukacita berikutan bencana tersebut dan menyampaikan ucapan takziah khususnya kepada mereka yang kehilangan insan tersayang atau masih menunggu khabar mengenai ahli keluarga yang hilang.

"Doa dan ingatan kami bersama semua yang terjejas," katanya yang turut memuji keberanian dan dedikasi anggota pasukan mencari dan menyelamat yang sedang menjalankan tugas dalam keadaan amat mencabar.


Kejadian pada Rabu itu mengorbankan sekurang-kurangnya 157 orang, manakala lebih 400 pelancong termasuk sebahagian dari Malaysia dilapor masih hilang.


Laporan awal pihak berkuasa Nepal mendapati gempa bumi di kawasan berhampiran dipercayai menjadi punca gelongsoran bahagian bawah glasiar menyapu bersih perkampungan di sepanjang laluan Sungai Bhote Koshi dan Sungai Trishuli dalam sekelip mata.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page