Banjir Manjoi: 60 keluarga terima bantuan tunai, ringan beban sambut Ramadan
- Suara Keadilan

- 3 hours ago
- 2 min read

Sebanyak 60 keluarga di Manjoi, Perak menerima bantuan secara sekali beri susulan kejadian banjir yang melanda kawasan itu pada 16 Januari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kinta, Zulhisham Ahmad Shukori berkata, agihan fasa pertama menerusi peruntukan kerajaan negeri dan Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Tambun disampaikan kepada penerima yang berdaftar di Pejabat Penghulu Mukim Hulu Kinta (Ipoh) sehingga Rabu.
Beliau menjangkakan jumlah penerima bakal meningkat disebabkan masih ada yang belum membuat pendaftaran (bantuan).
"Bantuan ini diharap akan mengurangkan sedikit beban kepada penduduk terjejas untuk menyambut kedatangan Ramadan.
"Laporan penuh akan menyusul selepas selesai segala urusan melibatkan bantuan kepada para penduduk yang terjejas akibat banjir ini," katanya dipetik pada sidang media selepas sesi penyerahan bantuan itu semalam.
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebelum ini memaklumkan, taburan hujan luar biasa melebihi 80 milimeter (mm) dikenal pasti sebagai punca utama kejadian banjir di beberapa kawasan termasuk di Manjoi.
Susulan itu, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Kampung Tengku Hussein dengan menempatkan 10 keluarga melibatkan 26 mangsa.
Bencana tersebut turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Tambun yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Zulhisham yang juga pegawai daerah Kinta sementara itu memaklumkan, projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kinta Fasa Dua bernilai RM108 juta telah dimuktamadkan pada 14 Jan lepas dan sedang dalam proses pelantikan kontraktor.
"Kini projek itu berada pada peringkat akhir penyelarasan bagi membolehkan kerja-kerja pelaksanaan dimulakan dalam masa terdekat.
"Proses lanjut berhubung pembinaan RTB ini adalah di bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan kami jangka ia mampu membantu mencegah masalah banjir yang kerap berlaku di Manjoi ini," tambahnya.









Comments