Baju PM koyak: Lihat sifat tawaduknya, utamakan kerja banding pakaian
- Akmal Manaf

- 4 hours ago
- 1 min read

Tularnya imej baju batik yang dipakai Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat koyak pada bahagian lengan sebelah kiri bukan sahaja mencuri perhatian warga maya, malah mengundang pelbagai tafsiran mengenai gaya kepimpinan dan kehidupan peribadi pemimpin nombor satu negara itu.
Di sebalik kecaman dan sindiran segelintir pihak, ada yang melihat insiden berkenaan sebagai gambaran kepada keutamaan seorang pemimpin yang lebih menumpukan perhatian kepada urusan pentadbiran dan tanggungjawab terhadap rakyat berbanding penampilan diri sendiri.
Mengulas perkara itu, Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor, Muhammad Iman Haziq Mohammad Hamizi (gambar) berkata, PM Anwar sememangnya dikenali dengan sikap tawaduk dan tidak gemar menonjolkan kemewahan dalam kehidupan seharian.
"PMX ini memang terkenal dari dulu lagi dengan sikap tawaduk. Beliau sangat merendah diri dan bukan jenis yang suka menunjukkan kemewahan.
"Kalau kita tengok beliau pergi kerja atau menghadiri program rasmi, dia lebih banyak memakai baju Melayu dan baju batik.
"Jarang sekali kita lihat beliau memakai sut, walaupun ada masanya beliau berbuat demikian," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan hari ini.
Menurut Iman Haziq lagi, kecenderungan PM Anwar untuk tampil sederhana itu menggambarkan bahawa fokus beliau lebih terarah kepada pelaksanaan tugas dan tanggungjawab terhadap rakyat berbanding soal pakaian berjenama yang wajar dipakai untuk mengekalkan standard seorang PM.
"PM Anwar memang fokus kepada kerja dan tanggungjawab untuk rakyat sehingga beliau tidak terlalu memikirkan soal pakaian yang dipakai.
"Rasanya apa yang ada dalam almari, itu yang beliau ambil dan pakai. Beliau bukan seorang yang terlalu memikirkan untuk sentiasa membeli pakaian baharu atau menampilkan kemewahan," kata Iman Haziq yang juga Ketua AMK Cabang Ampang.




Comments