Arthur pertahan DUN Bukit Batu, komited bawa suara rakyat
- Hasbul Ahmad

- Jun 14
- 2 min read

Calon DUN Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern menegaskan komitmennya untuk terus membawa suara rakyat dan memperjuangkan keperluan penduduk setempat selepas diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi mempertahankan kerusi DUN Bukit Batu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Arthur berkata, amanah yang diberikan kepadanya bukan sekadar untuk bertanding dan menang pilihanraya, tetapi memastikan setiap isu yang dihadapi rakyat dapat dibawa ke perhatian kerajaan serta diselesaikan dengan berkesan.
Menurut beliau, sepanjang penggal lalu pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi membantu rakyat tanpa mengira latar belakang kaum, agama mahupun fahaman politik.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan Pakatan Harapan dan KEADILAN yang terus memberikan kepercayaan kepada saya untuk mempertahankan DUN Bukit Batu.

"Saya berjanji akan terus menjadi suara rakyat dan memastikan kepentingan penduduk Bukit Batu sentiasa diberikan perhatian," katanya pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya DUN Bukit Batu di sini, malam tadi.
Terdahulu, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah menamakan Arthur Chiong Sen Sern sebagai calon pertama Pakatan Harapan untuk PRN Johor di Majlis Pelancaran Jentera DUN Bukit Batu.
Dalam pada itu Arthur berkata, berdasarkan keputusan pengundian Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 untuk kawasan parlimen pada November 2022, PH mempunyai asas sokongan yang kukuh di Johor dan berpotensi memenangi sekurang-kurangnya 30 kerusi DUN sekiranya sokongan pengundi diterjemahkan secara konsisten dalam PRN kali ini.
Menurut beliau, analisis keputusan pilihanraya lalu menunjukkan PH berada dalam kedudukan yang kompetitif di banyak kawasan dan berupaya membentuk Kerajaan Negeri secara sendiri sekiranya mendapat mandat yang mencukupi daripada rakyat.

"Berdasarkan keputusan PRU15, Pakatan Harapan sebenarnya mempunyai potensi untuk memenangi sekurang-kurangnya 30 kerusi DUN di Johor.
"Sebab itu saya ingin lontarkan satu cabaran kepada rakyat Johor. Selama ini ada pihak yang berkata mereka tidak boleh bekerjasama atau duduk bersama.
"Kenapa perlu bersikap sombong begitu?
"Jika itu menjadi alasan, apa kata rakyat Johor memberikan mandat yang jelas kepada Pakatan Harapan supaya kami memperoleh majoriti mudah dan membentuk kerajaan negeri sendiri," kata Arthur.
Tambah beliau, pilihanraya kali ini memberi peluang kepada rakyat Johor untuk menentukan hala tuju negeri dan memilih sebuah kerajaan yang stabil, progresif serta mampu menawarkan dasar yang lebih baik untuk masa depan negeri itu.




Comments