top of page

Apakah judi berlesen masalah utama di Kedah?

  • Writer: Hasbul Ahmad
    Hasbul Ahmad
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Naratif pemimpin Pas Kedah, terutama Menteri Besar negeri itu, Datuk Seri Sanusi Md Nor yang menyerang Perdana Menteri dalam isu judi berlesen di negeri berkenaan menimbulkan tanda tanya.


Bagi Penggerak Rakan Nasionalis Moderat, Dr Muhammad Faiz Na'aman, kecaman Sanusi terhadap Kerajaan Persekutuan yang tertakluk kepada Perlembagaan dalam hal judi berlesen memberi gambaran seolah olah masalah tersebut amat besar dan membelenggu majoriti rakyat di negeri itu, hingga Kerajaan Negeri menganggap membatalkan lesen judi di Kedah merupakan satu satunya jalan penyelesaian.


"Apakah selama ini begitu ramai Melayu-Islam di Kedah terjebak dengan perjudian di premis berlesen?


"Apakah selama ini tiada penguatkuasaan syariah terhadap umat Islam di Kedah dalam soal perjudian?


"Dan apakah masalah utama masyarakat Islam di Kedah benar-benar judi berlesen, bukannya isu dadah, ketum, penyeludupan rokok, kegiatan merempit, penipuan dalam talian, peluang pekerjaan yang terhad atau ketidakpadanan pekerjaan dengan tahap akademik?" soalnya.


Dr Faiz berkata, usaha membanteras perjudian dalam kalangan umat Islam seharusnya wajar diteruskan melalui penguatkuasaan undang-undang syariah dan sivil yang berada dalam bidang kuasa masing-masing.


Namun, ujarnya, usaha tersebut tidak wajar diselewengkan menjadi naratif bahawa Kerajaan Pusat atau Perdana Menteri sengaja menggalakkan umat Islam berjudi.


"Perbezaan bidang kuasa antara negeri dan Persekutuan mesti difahami. Kalau benar mahu mengubah dasar atau undang-undang berkaitan perjudian, gunakan saluran perundangan yang sah melalui Parlimen.


"Jangan gunakan isu agama untuk menanam persepsi bahawa PMX, MOF atau Kerajaan MADANI sengaja menghalalkan judi kepada orang Islam.


"Agama jangan dijadikan alat untuk menghasut rakyat membenci kerajaan hanya kerana perbezaan politik," katanya.


Beliau menegaskan bahawa perdebatan mengenai perjudian perlu berasaskan fakta, Perlembagaan dan undang-undang, bukan sentimen politik atau tuduhan terhadap mana-mana pihak.


"Kalau benar ikhlas mahu membela agama dan masyarakat Islam, tumpukan juga kepada masalah yang benar-benar memberi kesan kepada kehidupan rakyat.


"Jangan sampai isu yang mempunyai latar belakang perundangan dan bidang kuasa yang kompleks dipermudahkan menjadi slogan politik untuk ‘menenyeh’ PMX, Menteri Kewangan, Kerajaan Pusat dan Kerajaan MADANI," katanya lagi.


Minggu lalu Sanusi dalam satu ceramah berkata, Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan dimaki oleh rakyat Kedah jika dia membenarkan aktiviti perjudian disambung semula di negeri itu.


Dia berkata Kerajaan Negeri sudah melakukan apa yang terdaya untuk menghalang aktiviti berkenaan apabila melaksanakan larangan menyeluruh terhadap premis perjudian dan loteri di negeri itu.


Bagaimanapun, larangan yang dikuatkuasakan pada 2023 itu dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan melalui keputusan pada 12 Ogos.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page