top of page

Apakah BN masih komited pertahan Kerajaan Perpaduan?

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • 44 minutes ago
  • 2 min read

Hasrat Umno meneruskan kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka mencetuskan persoalan.


Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata sebagai sebahagian daripada komponen Kerajaan Perpaduan di Putrajaya, BN mempunyai tanggungjawab politik untuk menjelaskan kepada rakyat bagaimana kerjasama dengan PN yang secara terbuka mengambil pendirian.


Terutamanya PN sebagai blok pembangkang yang berusaha menjatuhkan dan memecahkan Kerajaan Perpaduan dijadikan sekutu memerintah di sebuah negeri.


Menurut beliau, pendirian BN dilihat bukan sekadar berkaitan strategi pilihanraya tetapi menyentuh soal prinsip, konsistensi dan komitmen terhadap Kerajaan Perpaduan yang sedang mentadbir negara.


"Dalam politik, strategi pilihanraya sememangnya hak setiap parti, namun apabila sesebuah parti berada dalam kerajaan setiap tindakan politiknya akan dinilai berdasarkan kesannya terhadap kestabilan pentadbiran.


"Kerjasama dengan pihak yang secara terbuka mahu menjatuhkan kerajaan secara logiknya akan menimbulkan persoalan sama ada wujud percanggahan antara tindakan politik dengan komitmen terhadap kerajaan dianggotai.


"Keadaan ini boleh diibaratkan seperti sebuah kompas. Jika jarumnya berubah-ubah mengikut keadaan, ia bukan lagi menjadi panduan tetapi punca kekeliruan," ujarnya dalam satu kenyataan.


Mahfuz juga mempersoalkan sama ada BN masih komited sepenuhnya kepada semangat Kerajaan Perpaduan dan mendukung cita cita Kerajaan MADANI atau sedang mengorak langkah ke arah penjajaran politik yang berbeza.


"Rakyat berhak mengetahui pendirian sebenar kerana kejelasan politik adalah asas kepada keyakinan terhadap pentadbiran negara," tambahnya.


Mengulas lanjut beliau turut menyifatkan tindakan keliru oleh BN boleh memberi kesan kepada persepsi pelabur, penjawat awam dan masyarakat antarabangsa terhadap kestabilan politik Malaysia.


"Dalam suasana ekonomi global yang masih mencabar, keyakinan terhadap sebuah kerajaan yang stabil merupakan aset yang amat penting untuk menarik pelaburan, melaksanakan reformasi ekonomi dan memastikan kebajikan rakyat terus diperkasakan.


"Tiada siapa mempertikaikan hak BN untuk menentukan strategi politiknya. Namun hak tersebut datang bersama tanggungjawab moral dan politik untuk memastikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan yang sama-sama dibentuk selepas Pilihan Raya Umum lalu tidak terhakis.


"Rakyat bukan sahaja akan menilai siapa yang menang dalam pilihanraya, tetapi siapa yang konsisten mempertahankan prinsip, menghormati mandat serta berani menjelaskan pendirian mereka kepada negara," katanya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page