Apa pendirian Umno setelah Tuanku Muhriz murka pada Ismail?


KEADILAN mempersoalkan pendirian Umno selepas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim ditegur secara terbuka oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Timbalan Setiausaha Agungnya, Saifuddin Shafi Mohammad (gambar) berkata, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu tampil menjelaskan pendirian mereka kepada rakyat berhubung kemelut institusi diraja negeri itu.
Malah kepimpinan Umno Negeri Sembilan juga perlu tampil menyatakan pendirian mereka memandangkan Ismail merupakan pemimpin daripada parti itu.
"Kemurkaan Tuanku Muhriz terhadap Ismail membangkitkan persoalan apakan mereka akan mempertahankan Menteri Besar itu atau tampil menjelaskan pendiriannya berhubung kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan?
"Rakyat berhak tahu pendirian Umno dalam isu kemelut ini, terutama apabila perkembangan terbaharu terus menimbulkan persoalan mengenai hala tuju penyelesaiannya," katanya dipetik.
Terdahulu tular rakaman reaksi Tuanku Muhriz memberi teguran keras kepada Ismail Lasim sehingga menjadi perhatian ramai.
Tuanku Muhriz bertitah bahawa Ismail yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Pilah, telah menulis surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berhubung penurunan takhta baginda.
"Ismail Lasim telah menulis surat kepada Penyimpan Mohor Besar (Raja-Raja) baru-baru ini mengatakan keputusan dibuat bersama Exco itu ialah sah, dan saya ini bukan lagi Yamtuan Besar Negeri Sembilan.
"Selagi dia tak tarik balik balik apa dia kata tu, jangan jumpa saya. Go away, don't see me, i don't want to see you, okay? You understand?" titah baginda.
Sementara itu Saifuddin mendesak Ismail memberikan penjelasan menyeluruh mengenai isu yang mencetuskan pertikaian tersebut.
Sebarang pertikaian perlu diselesaikan melalui saluran yang sah dengan menghormati undang-undang serta aturan adat Negeri Sembilan, tegasnya.




Comments