top of page

Anwar pimpin pecutan akhir kempen, tingkat gelombang sokongan PH

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read
ANWAR  hadir pada majlis pengumuman 56 calon Pakatan Harapan di Johor Bahru, 23 Jun 2026. Foto Ihsan Anwar Ibrahim melalui Facebook
ANWAR hadir pada majlis pengumuman 56 calon Pakatan Harapan di Johor Bahru, 23 Jun 2026. Foto Ihsan Anwar Ibrahim melalui Facebook

Tinggal kurang seminggu sebelum rakyat Johor menentukan hala tuju negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 11 Julai ini, Pakatan Harapan (PH) meningkatkan momentum kempen apabila Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turun padang dalam siri jelajah padat melibatkan 15 program sepanjang dua hari.


Kehadiran Anwar yang juga Perdana Menteri dilihat sebagai usaha memperkukuh sokongan terhadap 56 calon PH daripada KEADILAN, AMANAH dan DAP, selain menyuntik semangat jentera parti yang kini memasuki fasa terakhir kempen.


Menerusi hantaran di Facebook, Anwar mengajak seluruh rakyat Johor hadir memeriahkan program yang diatur sepanjang Sabtu dan Ahad.


"Insya-Allah, esok dan Ahad akan berada di Johor bagi memberikan dukungan buat calon-calon serta jentera HARAPAN.


"Saya mengajak seluruh warga Johor untuk turut serta. Semoga ikhtiar ini dipermudah dan diberkati," katanya.


Jelajah kempen bermula dengan Program Kita Genk MADANI x Anak Muda Bukit Batu di Kulai pada pukul 3.30 petang sebelum beliau menghadiri Majlis Hi-Tea Bersama Pimpinan Masyarakat Johor di Johor Bahru.


Anwar kemudiannya dijadual menyertai program Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) di Tampoi sebelum menghadiri Malam Kebudayaan India Harapan Bersama PMX di Taman Tampoi Indah.


Pada sebelah malam, beliau turut dijadual menghadiri Majlis Makan Malam Komuniti Cina Bersama PMX sebagai sebahagian usaha mendekati pelbagai lapisan masyarakat menjelang hari pengundian.


Menyedari PRN kali ini menyaksikan penyertaan besar pengundi muda termasuk mereka yang pertama kali mengundi, Anwar turut mengadakan Dialog Belia Johor di kawasan FELDA Ulu Tebrau sebelum menutup siri program hari pertama bersama anak-anak muda di Medan Selera Cempaka, Kempas.


ANWAR  (tengah) bersama calon-calon yang membawa misi Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Negeri Johor ke-16, 23 Jun 2026. Foto Ihsan Anwar Ibrahim melalui Facebook
ANWAR (tengah) bersama calon-calon yang membawa misi Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Negeri Johor ke-16, 23 Jun 2026. Foto Ihsan Anwar Ibrahim melalui Facebook

Pada Ahad, Perdana Menteri akan memulakan jelajah dengan program sarapan bersama masyarakat DUN Layang-Layang di Simpang Renggam sebelum menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama PMX di DUN Senggarang, Batu Pahat.


Beliau kemudian dijadual menghadiri Kenduri Rakyat Bersama PMX di Semerah, diikuti program Temu Anwar dan Pelancaran Sukarelawan DUN Bukit Naning di Muar.


Sebelah petang pula, Anwar akan meneruskan Jelajah Harapan FELDA di Dataran Putra Palong Timur 2 sebelum menghadiri sesi ramah mesra bersama pengundi di DUN Pemanis dan DUN Gambir.


Siri kempen selama dua hari itu akan berakhir menerusi program Jelajah Johor Ke Depan, Undi Harapan di DUN Serom, Sungai Mati, Tangkak pada pukul 9 malam.


PRN Johor diadakan pada 11 Julai, manakala pengundian awal dijadual berlangsung pada 7 Julai.


Jelajah padat Perdana Menteri itu mencerminkan strategi PH memperhebat kempen pada minggu terakhir dengan memberi tumpuan kepada kelompok belia, komuniti pelbagai kaum dan warga FELDA selain mengukuhkan jentera parti di kawasan-kawasan yang dianggap kritikal menjelang hari pengundian.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page