top of page

Antara Malta dan Putrajaya: Menjawab Persepsi Dalam Pelantikan Ketua Hakim

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 13
  • 4 min read

Updated: Jul 14

ree

Oleh: Khairul Naim Rafidi


ULASAN: Desakan Latheefa Koya agar Perdana Menteri menjelaskan mengapa tempoh perkhidmatan Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebagai Ketua Hakim Negara tidak disambung, kononnya kerana ucapannya di Malta, mencerminkan satu gejala yang semakin kerap dalam wacana awam: membina dakwaan politik berdasarkan tafsiran, bukan fakta.


Premis asas dakwaan ini lahir daripada satu kenyataan bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Nazri Aziz. Beliau menyatakan kemungkinan ucapan Ketua Hakim Negara yang menyentuh soal reformasi pelantikan kehakiman termasuk cadangan untuk mengeluarkan peranan Perdana Menteri daripada proses itu telah menjadi sebab mengapa tempoh perkhidmatannya tidak dilanjutkan.


Namun, apabila tafsiran ini dijadikan dasar untuk menyerang Perdana Menteri secara terbuka, satu persoalan kritikal timbul, apakah kita masih berpaut kepada prinsip undang-undang, atau sedang terjerat oleh naratif persepsi? Membina hujah atas tafsiran bebas, tanpa disandarkan pada bukti akhirnya akan melemahkan budaya ketelitian dalam sistem demokrasi. Jika setiap keputusan institusi ditafsir secara politik, maka tiada satu pun proses akan terlepas daripada syak wasangka.


Pelantikan kehakiman bukan kuasa peribadi PM


Kenyataan rasmi Istana Negara bertarikh 11 Julai 2025 memberikan konteks yang tidak boleh dipinggirkan. Di bawah Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, pelantikan Ketua Hakim Negara adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Perdana Menteri dan setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja. Proses ini pula disokong oleh cadangan daripada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) di bawah Akta 695.


Maka untuk menyempitkan seluruh proses pelantikan ini sebagai keputusan “eksklusif” Perdana Menteri, apatah lagi berdasarkan reaksi terhadap satu ucapan adalah satu andaian yang meremehkan struktur semak dan imbang institusi dalam negara.


Tambahan pula, Majlis Raja-Raja dijadual bersidang pada 15 hingga 17 Julai 2025, yang sudah pastinya akan menyentuh pelantikan kehakiman sebagai sebahagian isu dalam rundingan. Maka adalah lebih wajar untuk semua pihak menunggu proses ini berlangsung dengan tertib, daripada membuat andaian melulu seolah-olah sistem telah gagal berfungsi.

Penulis - Khairul Naim Rafidi
Penulis - Khairul Naim Rafidi

Harus diingatkan bahawa Majlis Raja-Raja bukan sekadar pelengkap formaliti. Mereka adalah pengimbang tradisional yang menjaga kewarasan dalam pelantikan tinggi negara. Maka, untuk memintas peranan ini dengan andaian liar adalah tindakan yang mencabul kebijaksanaan institusi beraja.


Selain itu, kenyataan Istana Negara itu juga menyentuh dengan tegas bahawa pelantikan ini tidak wajar dipolitikkan oleh mana-mana pihak. Ini bukan sekadar peringatan kepada ahli politik, tetapi juga kepada mana-mana individu yang terburu-buru membina naratif kononnya sistem telah dikhianati, hanya kerana tafsiran terhadap satu kenyataan.


Dalam konteks ini juga, saya juga melihat bahawa cadangan terbuka oleh YB Rafizi Ramli agar ditubuhkan satu suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk menyiasat dakwaan berkenaan Ketua Hakim Negara turut wajar dinilai semula.


Penubuhan RCI hanya boleh dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950. Dengan penuh hormat, saya menyatakan bahawa cadangan tersebut adalah tidak praktikal dalam keadaan sebegini. Bukankah lebih munasabah untuk menasihati pengisian segera jawatan kehakiman yang telah dan bakal kosong, seperti yang dituntut oleh undang-undang dan konvensyen biasa?


Ucapan Malta: Seruan reformasi, bukan serangan peribadi


Ucapan Tun Tengku Maimun di Malta menyentuh soal pengukuhan kebebasan kehakiman yang merupakan satu tema yang telah lama menjadi sebahagian daripada perbualan reformasi institusi negara.


Dalam wacana itu, beliau memetik cadangan untuk meminda Akta JAC dan Perlembagaan, agar peranan eksekutif dalam pelantikan hakim dapat dikurangkan, sekaligus mengurangkan persepsi campur tangan politik.


Ucapan ini tidak menyebut nama mana-mana pemimpin secara langsung. Ia tidak bersifat partisan, malah konsisten dengan pandangan yang telah lama dikemukakan oleh masyarakat sivil dan akademia undang-undang.


Jika benar ucapan ini menjadi sebab seorang Perdana Menteri “menghukum” Ketua Hakim Negara, kita harus bertanya, di mana buktinya? Adakah terdapat kenyataan atau tindak balas rasmi daripada Perdana Menteri terhadap ucapan tersebut? Sehingga hari ini, tiada satu pun.


Saya berpendapat bahawa sekiranya kita menganggap ucapan yang menyeru kepada reformasi institusi sebagai satu bentuk 'serangan', maka kita sedang menanam benih ketakutan terhadap perubahan. Ini bertentangan dengan semangat Perlembagaan yang membuka ruang kepada penambahbaikan berterusan.


Maka, untuk kita menganggap tindakan tidak menyambung perkhidmatan sebagai satu bentuk pembalasan adalah tidak logik dan tersasar sama sekali.


Tidak semua perkara tidak berlaku mesti disalahkan


Kita juga tidak harus terperangkap dalam logik songsang “kerana PM tidak menyambung, maka pasti ada sebab yang tidak elok.” Ini satu perangkap persepsi yang telah lama mencengkam politik Malaysia, di mana diam dilihat sebagai bersalah, dan langkah institusi ditafsir sebagai muslihat.


Ketiadaan penyambungan tidak semestinya bermakna kelemahan atau pembalasan. Ia boleh juga mencerminkan kehendak kepada peralihan teratur, memberi ruang kepada susun atur baharu dalam institusi kehakiman, atau sekadar menghormati tempoh khidmat yang telah sempurna.


Dan yang lebih penting, kita sedang menyaksikan proses pelantikan baharu berlangsung mengikut saluran Perlembagaan. Ia melibatkan cadangan JAC, rundingan Majlis Raja-Raja, dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong. Tidak ada tindakan yang pelik yang berlaku. Tidak ada pelantikan tergesa-gesa, tidak ada nama yang dicanang atas dasar politik. Ini bukti bahawa kerajaan tidak bermain api dalam urusan institusi.


Pandangan adil tidak wajar berpandu persepsi


Tun Tengku Maimun telah mencatat sejarah sebagai Ketua Hakim Negara wanita pertama. Legasi itu harus dikenang dan bukan dijadikan alat untuk menyerang seorang Perdana Menteri yang telah menunjukkan konsistensi dalam menghormati institusi kehakiman.


Latheefa Koya berhak mengemukakan pandangan dan kebimbangannya. Tetapi pandangan yang adil mesti berpijak kepada proses dan bukan persepsi. Dalam sistem demokrasi berperlembagaan, pertanyaan yang baik adalah penting tetapi andaian yang longgar boleh menjadi racun kepada keyakinan awam.


Namun, jika benar kita mahu mempertahankan kebebasan kehakiman, maka marilah kita turut mempertahankan kesucian proses pelantikannya dan tidak menjadikannya medan untuk membuktikan teori politik yang belum diuji.


Dalam hal ini, kita juga perlu bersikap adil kepada Perdana Menteri. Beliau telah mengurus isu ini dalam bingkai Perlembagaan dan sehingga kini tidak pernah menunjukkan sebarang kecenderungan untuk mencampuri keputusan mahkamah atau menekan sistem kehakiman.


Justeru, dalam semangat menjaga maruah institusi, saya berharap kebijaksanaan Majlis Raja-Raja yang akan bersidang pada 15 hingga 17 Julai ini dapat memastikan isu pelantikan ini terus ditangani secara sah, tertib dan bebas daripada tekanan politik kepartian. Usahlah dibiar persepsi mengatasi proses, apatah lagi jika yang dikorbankan adalah keyakinan terhadap sistem keadilan negara.


Khairul Naim Rafidi ialah seorang Pengamal Undang-Undang, beliau juga merupakan Ketua Biro Guaman & Aduan Awam Angkatan Muda KEADILAN Malaysia

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page