
Serangan kejam rejim Zionis Israel ke penempatan rakyat Palestin di Jenin dikecam keras oleh Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK).
Pengarah Biro Antarabangsa AMK, Fakharuddin Moslim dan Exco AMK Malaysia, Ustaz Ashraf Hadi dalam kenyataan bersama berkata serangan ke atas rakyat Palestin di Tebing Barat yang setakat ini meragut 9 nyawa tidak boleh diterima masyarakat antarabangsa dan amat tidak berperikemanusiaan.

"Serangan kejam yang dilakukan oleh tentera Israel jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan prinsip kemanusiaan yang menjadi dasar bagi perdamaian dunia.
"Sehubungan itu, AMK menyeru seluruh masyarakat antarabangsa untuk bersama-sama mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan ini.
"Ini merupakan praktik apartheid yang zalim dan menindas hak kebebasan rakyat Palestin untuk hidup bebas di tanah air mereka sendiri," kata mereka dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, AMK menurut mereka, menyatakan rasa simpati dan solidariti yang mendalam terhadap penduduk Palestin, dan AMK mendukung segala inisiatif yang bertujuan untuk memberikan keamanan serta kebebasan kepada mereka daripada penindasan Israel.
Pada masa sama, AMK juga mengajak umat Islam Malaysia membaca Qunut Nazilah sebagai ungkapan doa dan sokongan moral kepada rakyat Palestin yang sedang ditimpa musibah.
"Marilah kita bersatu dalam doa, agar mereka diberikan perlindungan, kesejahteraan, dan keadilan yang mereka layak.
"AMK akan terus komited untuk memperjuangkan keadilan dan perdamaian di Palestin, serta membangun dukungan global dalam melawan segala bentuk penindasan serta pelanggaran hak asasi manusia," katanya lagi.