Amirudin galas amanah wakili PM ketuai Global Sumud Flotilla 2.0
- Azuan Ab Rahman

- Apr 4
- 1 min read

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) bakal mengetuai Misi Bantuan Kecemasan Malaysia ke Gaza menerusi penyertaan dalam delegasi Global Sumud Flotilla 2.0.
Pejabat Menteri Besar Selangor dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, Amirudin diamanahkan dalam misi anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) itu mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Malaysia.
Misi kemanusiaan berprofil tinggi itu dijadualkan membawa sebanyak 30 kontena mengandungi 374 tan bantuan bagi membantu rakyat Palestin yang terus berdepan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza.
"Beliau akan berlepas pada 5 April untuk mengetuai Delegasi Kemanusiaan, memastikan pelepasan kontena di Kaherah berjalan selamat, mengetuai sidang khas di Pintu Sempadan Rafah untuk menyatakan tegas pendirian Malaysia terhadap isu kepungan Gaza, dan seterusnya memantau pelepasan Delegasi Sumud Nusantara di Pelabuhan Barcelona, Sepanyol.
"Selangor dan Malaysia akan terus menegaskan dan menegakkan keadilan bagi nasib warga Palestin yang masih dikepung dan dizalimi rejim Zionis Israel," kata kenyataan itu.
Misi tersebut disifatkan sebagai penuh cabaran dan berisiko, justeru seluruh rakyat Malaysia diseru untuk mendoakan keselamatan serta kelancaran perjalanan semua petugas yang terlibat.




Comments