top of page

AMANAH Wilayah Persekutuan perlu perkukuh jentera hadapi pilihanraya – Mujahid

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
2 days ago
2 min read
Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berucap ketika merasmikan Konvensyen AMANAH Wilayah Persekutuan 2026 di Kompleks Kejiranan Presint 16, Putrajaya
Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berucap ketika merasmikan Konvensyen AMANAH Wilayah Persekutuan 2026 di Kompleks Kejiranan Presint 16, Putrajaya

Seluruh jentera Parti Amanah Negara (AMANAH) Wilayah Persekutuan perlu mula memperkemaskan organisasi dan persiapan pilihanraya di setiap peringkat tanpa menunggu sehingga pilihan raya umum ke 16 semakin hampir.


Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, persiapan awal penting bagi memastikan jentera parti sentiasa bersedia menghadapi cabaran politik dan pilihanraya akan datang.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen AMANAH Wilayah Persekutuan 2026 di Kompleks Kejiranan Presint 16, Putrajaya, semalam.


"Jangan tunggu pilihanraya semakin hampir baru hendak bergerak.


"Kukuhkan organisasi, rapatkan saf perjuangan dan turunlah mendekati rakyat bagi memahami masalah serta keperluan mereka," katanya menerusi kenyataan di media sosial.


Menurut Mujahid, kekuatan jentera parti bukan hanya perlu ditonjolkan ketika pilihanraya, sebaliknya mesti sentiasa berada bersama rakyat, mendengar keluhan dan membantu menyelesaikan masalah mereka.


Katanya, perjuangan politik AMANAH tidak seharusnya terbatas kepada usaha memenangi pilihanraya, tetapi perlu berteraskan matlamat membawa perubahan dan membela nasib rakyat.


"Politik kita bukan hanya untuk memenangi pilihan raya, tetapi untuk membawa perubahan dan membela nasib rakyat," katanya.


Dalam pada itu, beliau menyeru seluruh pimpinan dan anggota AMANAH supaya terus memperkukuh kerjasama serta kesatuan dalam Pakatan Harapan (PH).


Katanya, semua pihak perlu mempertahankan prinsip parti dengan menjadikan integriti, amanah dan kepentingan rakyat sebagai asas utama perjuangan politik.


"Kekuatan AMANAH juga mesti menjadi sebahagian daripada kekuatan Pakatan Harapan. Kita perlu bergerak sebagai satu pasukan, saling melengkapi dan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap perjuangan yang kita bawa," ujarnya.


Mujahid turut menyifatkan Wilayah Persekutuan sebagai cerminan Malaysia kerana menjadi tempat berhimpunnya rakyat daripada pelbagai negeri, kaum, agama dan budaya.


Justeru, katanya, kepelbagaian itu merupakan kekuatan yang perlu dipelihara dan dipertahankan bersama.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan, Khalid Samad, barisan pimpinan dan urus setia konvensyen atas kejayaan penganjuran program berkenaan.


Penghargaan sama turut diberikan kepada pimpinan serta wakil parti komponen PH yang hadir, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan, solidariti dan komitmen memperkukuh kerjasama dalam gabungan itu.


Mujahid berharap konvensyen berkenaan menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh organisasi dan memperkemaskan jentera parti bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page