Perletakkan jawatan secara beramai-ramai Srikandi Bersatu Johor Bahru yang tular di media sosial ketika ini menimbulkan persoalan mengenai kemampuan Perdana Menteri (PM) Mahiaddin Yassin mengendalikan parti beliau.
Menurut Ketua Wanita KEADILAN Johor, Napsiah Khamis, daripada isi kandungan surat yang tular tersebut dapat dilihat Bersatu Johor tidak lagi stabil dan mempunyai masalah besar dalam urus tadbir parti.
"Bagaimana parti yang diketuai seorang PM begitu lemah dalam menjaga hal ehwal ahli jawatan kuasa wanitanya? Kalau bab kecil ini pun sudah gagal diurus dengan baik, bagaimana pula ingin menjaga sebuah negara?
"Maknanya negara kita bukan sahaja ditadbir oleh sebuah kerajaan yang tidak stabil tetapi juga PM yang mengetuai sebuah parti yang tidak stabil (di peringkat negeri)," kata Napsiah dalam satu kenyataan.
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Wanita KEADILAN Pusat itu lagi, negara memerlukan kerajaan yang kukuh dan ditadbir oleh seorang PM yang bijaksana.
Tanpa strategi yang bijak, katanya, Malaysia tidak akan mampu pulih daripada kemelesetan ekonomi dan pendemik Covid 19.
"Bagaimana parti kerajaan khususnya BERSATU dapat menyelesaikan masalah pandemik Covid-19 jika perkara (kelemahan mentadbir) ini berlarutan?
"Bayangkan, negara lain seperti Dubai sudah membuka lapangan terbang antarabangsanya, Thailand akan membuka negaranya bagi tujuan pelancongan, manakala Singapura sudah membuka banyak sektor ekonomi.
"Banyak negara sedang menuju kepada fasa pemulihan sepenuhnya. Bagaimana dengan Malaysia? PM sedang bergelut dengan masalah partinya sendiri?
"Negara ini memerlukan sebuah kerajaan yang kukuh lagi stabil dan seorang PM yang bijak dalam mengatur strategi untuk selamatkan Malaysia dari pandemik sekaligus memulihkan ekonomi.
"Kita tak mahu seorang PM yang hanya sekadar pandai membuat perutusan dan kelam kelibut dengan partinya sendiri," katanya lagi.
Krisis dalam Srikandi Johor Bahru ini menyusul selepas Ketua Srikandi Muda Bersatu Johor meletak jawatan pada Mei lalu.
コメント