Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) gusar dengan tindakan pentadbiran de facto Afghanistan yang dikuasai puak Taliban melarang wanita melanjutkan pengajian ke universiti.
Menurut Presiden ABIM Muhammad Faisal Abdul Aziz, tindakan kerajaan Afghanistan itu tidak melambangkan konsep sebenar agama Islam yang memelihara hak asasi wanita, terutama dalam pendidikan.
"ABIM menegaskan, kita sentiasa percaya bahawa wanita sememangnya turut berperanan dalam pembinaan negara dan memerlukan pendidikan yang sewajarnya.
"ABIM turut senada dengan kegusaran yang diluahkan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) H.E. Hissein Brahim Taha bahawa keputusan ini dikhuatiri akan menjejaskan kredibiliti kerajaan semasa," katanya dalam satu kenyataan.
Justeru, katanya ABIM sedia membuka tangan berdialog dengan pihak berkuasa Afghanistan demi memastikan wanita muslim mendapat pendidikan yang sewajarnya.
"ABIM bersedia dalam ruang dialog dan kerjasama atas nama persaudaraan Muslim untuk bersama menyelesaikan perkara ini," kata Faisal lagi.
Comentarios