top of page

65 peratus wang penipuan scammer dipulangkan, kejayaan Kerajaan MADANI

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 2 min read

Sebanyak 65 peratus wang hasil penipuan yang berjaya disita oleh Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini telah dipulangkan kepada mangsa, perkembangan yang disifatkan sebagai kejayaan Kerajaan MADANI dalam usaha membanteras jenayah penipuan yang tidak berjaya dilakukan kerajaan sebelum ini.


Ketua Penerangan KEADILAN Pahang, Datuk Dr Suhaimi Ibrahim berkata, jumlah berkenaan sebagaimana laporan berita, membabitkan kira-kira RM5.16 juta daripada wang yang berjaya disita NSRC.


Beliau berkata, perkembangan itu memberi sedikit kelegaan kepada mangsa penipuan yang sebelum ini menganggap wang yang sudah dipindahkan kepada scammer sukar untuk diperoleh semula.


"Ramai anggap bila duit dah masuk tangan scammer, memang susah nak dapat balik.

Datuk Dr Suhaimi Ibrahim
Datuk Dr Suhaimi Ibrahim

"Tetapi perkembangan terbaru ini beri sedikit kegembiraan pada mangsa," katanya dalam muat naik di media sosial.


Menurut Suhaimi, kadar pemulangan berkenaan menunjukkan peningkatan ketara berbanding hanya tujuh peratus pada 2024.


"Kalau dibandingkan dengan kadar hanya 7% pada 2024, ini satu peningkatan besar dan kejayaan yang wajar kita akui.


"Ia membuktikan usaha kerajaan memperkukuh kerjasama antara PDRM, bank dan agensi berkaitan sudah mula membuahkan hasil," katanya.


Bagaimanapun, beliau mengingatkan masyarakat supaya tidak menganggap perkembangan itu sebagai alasan untuk berasa terlalu selamat kerana taktik scammer semakin licik.


"Scammer sekarang semakin licik. Mereka hanya perlukan beberapa minit untuk memindahkan wang melalui banyak akaun. Kadangkala hanya kerana satu pautan, satu OTP atau keputusan yang dibuat ketika panik, simpanan bertahun-tahun boleh lesap," ujarnya.


Sehubungan itu, Suhaimi menasihatkan mangsa supaya segera menghubungi pihak bank dan NSRC di talian 997 sekiranya mengesyaki telah menjadi mangsa penipuan, selain membuat laporan polis.


"Kalau rasa sudah terkena scam, jangan malu dan jangan tunggu. Hubungi bank serta NSRC di talian 997 dengan segera, kemudian buat laporan polis," katanya.


Beliau berkata, walaupun sistem tindak balas terhadap jenayah penipuan semakin baik, masyarakat sendiri kekal menjadi benteng pertama dalam melindungi wang dan simpanan masing-masing.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page