
Kerajaan Perikatan Nasional 2.0 telah menjanjikan akan melaksanakan 5 daripada 18 perkara dalam memorandum kerjasama (MoU) PN - Pakatan Harapan yang ditandatangani pada 13 September lalu.
Menurut Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil, janji tersebut diumumkan sama ada di dalam sesi perbahasan sidang Parlimen atau di media masa oleh pihak kementerian.
"MoU antara Kerajaan dan Pakatan Harapan. Setakat semalam (23 September), terdapat sekurang-kurangnya 5 perkara yang telah diumum akan dilaksana Kerajaan," tulis Fahmi ringkas di Facebook beliau.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut menyenaraikan pautan media yang menyiarkan berita mengenai janji berkenaan.
Antaranya, pengecualian bayaran faedah moratorium pinjaman bank; mempercepat Undi 18 dan pendaftaran pengundi automatik; penambahan RM45 bilion Dana Covid 19; peruntukan sama rata Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang serta pelaksanaan RUU Anti Lompat Parti.
Kesemua yang tersebut adalah tuntutan pihak PH kepada kerajaan PN. Di dalam dokumen MoU terdapat tuntutan yang perlu dilaksanakan dalam garis masa serta-merta, sebelum hujung tahun 2021, sebelum sidang Parlimen pertama 2022 atau dilaksanakan sepanjang masa.

コメント