Seratus hari pentadbiran Perdana Menteri (PM) ke 10 Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengangkat sumpah jawatan pada 24 November 2022 telah pun dilepasi.
Bagi Setiausaha Politik Kanan PM, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, meskipun menilai prestasi pemimpin atau kerajaan dalam tempoh 100 hari bukan budaya rakyat Malaysia, namun dalam tempoh tersebut telah dilihat bibit bibit kejayaan Anwar dalam membawa perobahan yang dijanjikannya sejak 24 tahun lalu apabila gerakan Reformasi bermula dan bergelombang.
"100 hari boleh dijadikan penilaian awal. Saya tidak fikir kita terikat dengan 100 hari atau 200 hari. Tetapi ia telah menjadi konvensyen dan biasa dalam amalan politik kita. Jadi ini juga membantu memberikan kita satu tekanan, mungkin ini belum diselesaikan dan harus disegerakan.
"Penialian rakyat berbeza tetapi apa yang berlaku 100 hari ini banyak perkara yang boleh disebut success story, misalnya dasar luar, engagement PM dengan pemimpin Asean, pelaburan yang dijanjikan sultan Brunei misalnya, memberikan satu petanda sangat positif melabur di Malaysia.
"Juga kita dengar Amazon labur berbilion buat data centre di sini. Madani untuk melaksanakan program kerajaan dalam 5 tahun digagaskan dalam 100 hari. Belanjawan Madani juga yang sedang dibahas.
"Pada saya, 3 agenda besar bukan calang calang PM untuk laksanakan. Beliau juga bukan dapat sokongan PH yang ada 82 kerusi, beliau harus mengurus kepelbagaian Kerajaan Perpaduan. Dalam masa 100 hari telah ditubuhkan Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang menunjukkan semua parti bersepakat memastikan Malaysia terus dipimpin dalam keadaan stabil," katanya dalam bual bicara Bernama TV bertajuk "Dari Reformasi Jalanan ke Revolusi Madani (100 Hari PM X)" malam tadi.
Ditanya mengenai kekuatan Anwar yang kelihatan mula mendapatkan kepercayaan pemimpin ASEAN dalam tempoh 3 bulan berkuasa, Shamsul berkata, Asia Tenggara kekurangan pemimpin yang mempunyai daya intelektual dan realistik dalam permainan politiknya sebagaimana Anwar.
"Ada dua perkara yang saya fikir menjadi tarikan pemimpin ASEAN, iaitu daya intelektualnya. Tidak ramai pemimpin politik mempunyai ketajaman intelektual, dalam masa yang sama boleh diolah dalam memberikan penyelesaian masalah. Rantau ini banyak perkara yang belum ditangani semperuna. Begitu berdepan cabaran ekonomi dan tatakelola.
"Datuk Seri Anwar memberikan satu penyelesaian, dan saya yakin pemimpin ASEAN lain kagum dengan beliau, tak ada pemimpin ASEAN melalui perit getir laluan politik seperti Anwar dan itu saya rasa mengembalikan keyakinan pemimpin ASEAN dan selepas ini pemimpin dunia," katanya.
Di samping itu, jelas Shamsul, Anwar juga mudah didekati oleh rakyat Malaysia. Malah perkara yang di luar batasan protokol diperkenalkannya, seperti tidak memakai tali leher di parlimen atau majlis rasmi kerajaan, mendekatkan lagi sosok pemimpin Kerajaan Perpaduan dengan rakyat.
"Itu pada saya mengurangkan lagi jurang atau perasaan jauh antara rakyat dan pemimpin. Maknanya pemimpin seperti Anwar yang lahir dari jerih perih rakyat jangan menunjukkan berbeza, berada di satu kelas tersendiri.
"Itu satu persepsi yang cuba dibina dan berbeza dari pemimpin lain," katanya.
Sebagai seorang yang rapat dengan Anwar, Shamsul melihat pemimpin karismatik itu mempunyai bakat berpidato yang luar biasa dan memukau.
Katanya, bukan sahaja di Malaysia, peminat pidato Anwar juga banyak tumbuh di alam Melayu lain, terutama Indonesia.
"PM ini kekuatannya orasi. Beliau merupakan tokoh pemidato yang baik.
"Saya melihat beliau berforum di Indonesia, saya sangat yakin tokoh akademik dan rakyat biasa mengikuti syarahan beliau sangat teruja.
"Indonesia ada sosok seperti Sukarno yang orasinya sangat memukau dan dalam konteks PM kita, dia bukan sekadar orasi tetapi hujah dan asas intelektualnya meyakinkan. Ini kekuatan beliau. Dalam masa sama beliau memberikan pendidikan politik kepada khalayak tidak kira berada di mana. Itu sewajarnya dikongsi. Ini kekuatan luar biasa beliau sebagai PM," katanya lagi.
Comments