Zon Ekonomi Khas Sabah: Kerajaan Persekutuan sedia nilai kerjasama
- Azuan Ab Rahman
- 24 hours ago
- 1 min read

Kerajaan Persekutuan bersedia menilai bentuk kerjasama yang sesuai sekiranya Kerajaan Negeri Sabah berhasrat menerajui transformasi ekonomi negeri melalui penubuhan Zon Ekonomi Khas (SEZ).
Kementerian Ekonomi menerusi jawapan disiar di laman sesawang Parlimen pada Isnin memaklumkan, bahawa dokumen BIMP-EAGA Vision 2035 (BEV2035) yang telah dipersetujui ketika Sidang Kemuncak Khas Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP–EAGA) di Filipina pada Mei lepas.
Susulan itu menurut Kementerian Ekonomi, keseluruhan Sabah telah dirangkumkan pada dua koridor ekonomi itiu Koridor Ekonomi West Economic Corridor dan Koridor Ekonomi Central Economic Corridor.
"Ini bermakna pembangunan ekonomi di Sabah adalah berhubung kait dan juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi merentasi sempadan di kawasan sub serantau BIMB-EAGA," kata kenyataan tersebut.
Koridor Ekonomi West Economic Corridor akan memfokuskan kepada logistik dan pengangkutan, pembuatan dan perusahaan, pelancongan, perkhidmatan digital dan kewangan.
Manakala menurut Kementerian Ekonomi, Koridor Ekonomi Central Economic Corridor fokus kepada perdagangan rentas sempadan, industri halal, logistik dan rantaian bekalan.
"Bagi mempertingkatkan pembangunan di Koridor Ekonomi, BEV2035 telah menetapkan hala tuju penubuhan Kumpulan Kerja untuk memudahcara kerjasama antara zon ekonomi berbeza merentasi sempadan.
"Dalam hal ini, penyelarasan dasar yang agresif dan tepat akan memastikan Sabah tidak hanya kekal sebagai peserta geografi dalam BIMP-EAGA, tetapi muncul sebagai hab ekonomi dan pusat pertumbuhan yang kritikal di Asia Tenggara," kata Kementerian Ekonomi.
