Undi anak rantau: Balik kampung, nilai kemajuan di bawah Pas Kelantan
- Suara Keadilan
- 2 minutes ago
- 2 min read

Setiap kali Pilihan Raya Umum (PRU) Pas Kelantan mengharapkan kepulangan pengundi anak rantau atau perantau yang bekerja di Selangor, Pulau Pinang dan Johor bagi menjamin kemenangan mereka di negeri itu.
Pengundi perantau ini biasanya hanya melihat warna hijau Pas dan tidak memikirkan mengenai masa depan kaum keluarga mereka yang ditadbir parti berkenaan untuk tempoh lima tahun selepas PRU.
Sehubungan itu, menjelang PRU ke16, mantan Ahli Dewan Negeri Meru, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mokhtar (gambar), mengingatkan pengundi perantauan Kelantan agar membuat pertimbangan rasional, menilai keadaan pentadbiran di negeri itu sewaktu pulang ke kampung berhari raya pada tahun ini.
Menurut beliau, ramai yang pulang hanya merasai kesesakan lalu lintas yang teruk setahun sekali ketika musim perayaan, namun hakikatnya rakyat tempatan berdepan pelbagai isu secara berterusan.
"Anda marah dan merungut dengan jem teruk di Kelantan yang anda lalui setahun sekali, tetapi bayangkan masalah yang dilalui oleh rakyat Kelantan yang tinggal di negeri ini setiap hari dengan pelbagai masalah," katanya dalam dalam muat naik di media sosial.
Ujar Fakhrulrazi, rakyat Kelantan pernah dalam beberapa kali PRU mahu menukar kerajaan Pas, namun keputusan pilihanraya sering dipengaruhi oleh undi daripada pengundi perantauan yang menghadiahkan sebanyak mungkin sokongan kepada Pas.
"Rakyat Kelantan dah buat perubahan dengan mengundi selain Pas, tetapi keputusan berubah dengan undi dari perantauan. Berubahlah dengan akal yang waras, bukan emosi yang memperbodohkan diri sendiri," tegasnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar pengundi tidak terperangkap dengan sentimen agama yang disalahgunakan bagi tujuan politik.
"Jangan terperangkap dengan doktrin dan sentimen agama yang ditunggang. Hakikatnya, meletakkan pemimpin pada tempatnya juga adalah tuntutan agama. Selama puluhan tahun, apa kejayaan yang ada (dari kerajaan Pas) melainkan khayalan dan tunggangan agama yang diulang-ulang seolah-olah selain mereka tidak Islam," ujarnya.
Untuk rekod, Kelantan pernah hampir tumbang pada PRU 1995, 2008, dan 2013.
Dalam tiga PRU itu, undi daripada anak rantau menyelematkan kerajaan Pas pada waktu pencabar terdekatnya UMNO telah 'menang' berasaskan culaan undi anak tempatan.
