top of page

UMNO mahu kerjasama tetapi mencatur kuasa, keikhlasan dipersoal — Nabil

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 40 minutes ago
  • 2 min read

Keikhlasan parti komponen Kerajaan Perpaduan perlu diperlihatkan dalam setiap tindakan terutama yang membabitkan keputusan mengadakan dan menyertai pilihanraya.


Sehubungan itu, Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat mempersoalkan keikhlasan UMNO dalam mempertahankan semangat Kerajaan Perpaduan susulan beberapa tindakan yang mencetuskan ketidakstabilan politik di peringkat negeri.


Naib Ketua AMK, Nabil Halimi (gambar) berkata, walaupun beliau bersetuju dengan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa rundingan kerjasama pra pilihanraya di Negeri Sembilan masih terbuka, persoalan utama adalah sejauh mana keikhlasan parti itu.


"Persoalannya, sejauh mana UMNO benar-benar ikhlas mempertahankan semangat Kerajaan Perpaduan yang telah membawa kestabilan dan keyakinan pelabur kepada negara?" tanyanya dalam satu kenyataan.


Menurut beliau, tindakan UMNO dia dua negeri selatan Semenanjung dilihat membuka ruang kepada ketidakstabilan politik ketika negara sedang berdepan cabaran krisis tenaga global.


Beliau turut mempersoalkan keputusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor walaupun Kerajaan Negeri ketika itu berada dalam keadaan stabil dan mempunyai majoriti kukuh.


"Keputusan pembubaran DUN Johor ketika Kerajaan Negeri stabil, mempunyai baki setahun lagi sebelum tamat penggal dan menikmati majoriti selesa apabila Barisan Nasional mempunyai 40 kerusi daripada 56 DUN, sememangnya menimbulkan tanda tanya," katanya.


Tambahnya, hasrat untuk bertanding secara solo di Johor juga dilihat bercanggah dengan semangat kerjasama dalam Kerajaan MADANI, yang sebelum ini memberi impak positif terhadap pelaburan dan pembangunan ekonomi termasuk Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).


Dalam masa sama, beliau berkata ketegangan politik di Negeri Sembilan pula berpunca daripada percaturan kuasa segelintir pemimpin UMNO sehingga memaksa Pakatan Harapan (PH) memulangkan mandat kepada rakyat.


Justeru, kata Nabil, sikap politik sempit seperti itu hampir menjerumuskan negara ke arah ketidakstabilan politik seperti era pemerintahan Perikatan Nasional (2020 - 2022) lalu.


"Kita masih ingat kesan tekanan pilihanraya ketika krisis Covid-19 dan episod pasca PRN Sabah yang memberi kesan besar kepada rakyat," tegasnya.


Beliau juga mengimbas kembali tekanan politik terhadap kerajaan ketika pentadbiran PM Ismail Sabri Yaakob, yang menurutnya membawa kepada pilihanraya awal walaupun terdapat persefahaman rentas parti.


"PH sejak awal memilih jalan kompromi demi kestabilan negara. Hakikatnya, kini tiada lagi gabungan dominan di Malaysia maka kompromi adalah asas pembentukan kerajaan," ujarnya.


Sehubungan itu, Nabil menggesa agar UMNO membuat pendirian jelas sama ada ingin terus membina negara secara bersama atau kembali kepada politik percaturan kuasa sebelum Kerajaan Perpaduan.


"Soalan saya mudah, mahu terus membina negara secara bersama atau terus mengulangi politik percaturan di masa krisis yang hanya mengorbankan rakyat dan ekonomi demi kuasa?" katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page