Tun M sambut merdeka: Jangan cepat tunding jari, fahami peraturan
- Suara Keadilan

- 20 hours ago
- 1 min read

Semua pihak diminta memahami terlebih dahulu tatacara pengurusan jemputan rasmi sebelum membuat tuduhan atau kesimpulan berhubung ketidakhadiran mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sambutan Hari Kebangsaan 2026, semalam.
Ahli Dewan Negara, Senator Abun Sui Anyit (gambar) berkata, isu tatacara jemputan ke sambutan Hari Kebangsaan bukan perkara baharu dan telah diamalkan setiap tahun.
Beliau berkata, persoalan yang timbul ialah sama ada Tun Mahathir telah mengarahkan pegawai beliau untuk membuat segala persiapan dan permohonan yang diperlukan melalui saluran sedia ada sekiranya berhasrat menghadiri sambutan rasmi berkenaan.
"Jika benar terdapat hasrat untuk menghadiri sambutan rasmi kerajaan, perkara asas seperti permohonan, penyelarasan dan urusan jemputan sepatutnya dibuat lebih awal melalui saluran yang telah ditetapkan.
"Justeru, janganlah Tun menyalahkan kerajaan atas sesuatu yang berpunca daripada kegagalan membuat persiapan dan urusan melalui saluran yang sewajarnya," katanya dalam kenyataan.
Abun Sui berkata, mereka yang tampil membela Tun Mahathir dan menuding jari kepada Kerajaan MADANI sepatutnya terlebih dahulu memahami tatacara pengurusan jemputan rasmi.
Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang, Sarawak itu berkata, sekiranya Tun Mahathir berhasrat menghadiri Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun hadapan, persiapan dan segala permohonan berkaitan wajar diuruskan lebih awal melalui saluran sedia ada.
"Tidak perlu menunggu saat-saat akhir dan kemudian menuding jari kepada kerajaan. Budaya menuding jari harus dihentikan.
"Buat homework dahulu, fahami fakta dan tatacara yang sebenar, kemudian barulah membuat kesimpulan," katanya.




Comments