Tukar MyKad struktur baharu tidak jejas tebus bantuan kerajaan - JPN
- Azuan Ab Rahman

- 3 days ago
- 1 min read

Penukaran kad pengenalan kepada MyKad Struktur Baharu bermula Jun depan tidak akan menjejaskan penyaluran bantuan kerajaan kepada rakyat.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berkata, bantuan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Budi Madani RON95 (BUDI95) dapat ditebus seperti biasa, selain nama penerima sedia ada dalam sistem dijamin tidak akan tercicir susulan proses peralihan tersebut.
"Fokus utama pelaksanaan MyKad Struktur Baharu adalah bagi meningkatkan keselamatan identiti rakyat tanpa menyukarkan urusan penerimaan bantuan kerajaan.
"JPN telah menjalin kerjasama erat dengan pelbagai kementerian dan agensi penyalur bantuan bagi memastikan integriti data yang disalurkan tetap kekal lancar dan utuh.
“Proses migrasi maklumat akan berlaku secara automatik dalam sistem pangkalan data pusat sekali gus memastikan bantuan akan diterima oleh penerima yang layak," kata JPN menerusi kenyataan.
Penjelasan itu sebagai menjawab kegusaran segelintir pihak mengenai kemungkinan berlaku gangguan teknikal atau keciciran penerima bantuan susulan pelancaran MyKad Struktur Baharu.
Sementara itu JPN memaklumkan, proses penukaran MyKad Struktur Baharu dilaksanakan secara berfasa dan makluman lanjut tatacara permohonan akan diumumkan dalam masa terdekat.
"Bagi sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh melayari laman web rasmi JPN di www.jpn.gov.my atau saluran rasmi media sosial JPN," tambah kenyataan itu.




Comments