Tiris minyak masak: KPDN teliti perluas mekanisme POS ke peringkat nasional
- Azuan Ab Rahman

- 7 minutes ago
- 1 min read

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang dalam proses meneliti peluasan sistem Point of Sale (POS) ke peringkat nasional, susulan keberkesanannya dalam menangani isu ketirisan minyak masak peket bersubsidi.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, pelaksanaan mekanisme itu bersama sistem eCOSS bukan sahaja meningkatkan pemantauan dan pematuhan industri, malah menutup ruang ketirisan yang sebelum ini dikenal pasti berlaku di peringkat pemborong.
"Keberkesanan sistem ini dibuktikan apabila tiada aduan berkaitan masalah bekalan minyak masak peket bersubsidi diterima sejak pelaksanaannya bermula pada Mei 2025.
"Melihat kepada keberkesanan sistem POS dan eCOSS dalam mengurangkan ketirisan, meningkatkan pemantauan serta memastikan kestabilan bekalan kepada pengguna, KPDN akan meneliti kesesuaian untuk menjadikan model ini sebagai amalan terbaik yang boleh diperluaskan ke negeri lain," katanya dalam kenyataan.
Sistem Point of Sale diperkenal KPDN Johor dengan membolehkan bekalan disalurkan terus daripada syarikat pembungkusan semula kepada POS tanpa melalui pemborong.
Menurut Dr Fuziah, sistem tersebut berjaya menstrukturkan semula rantaian pengedaran minyak masak bersubsidi.
"Johor menjadi negeri perintis bagi projek agihan kuota minyak masak bersubsidi yang bermula pada Mei tahun lalu dan kini mempunyai 95 POS yang beroperasi di seluruh negeri.
"Sebanyak 18 syarikat pembungkusan semula terbabit dalam pengagihan keseluruhan 1,154 tan metrik minyak masak peket bersubsidi setiap bulan di Johor," katanya.




Comments