top of page

Tingkatkan keselamatan, AKPS dilengkapi senjata menjelang akhir tahun

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Apr 18
  • 1 min read

Kerajaan bersetuju untuk melengkapkan keperluan persenjataan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar).


Beliau berkata perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat masing-masing dengan kementerian dan Jemaah Menteri telah bersetuju terhadap keperluan itu susulan kes tembakan terhadap Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Mohd Nasaruddin Mohd Nasir pada Februari lepas.


"Keperluan persenjataan itu kita telah setujui cuma jenisnya sahaja, senjata ini banyak bentuk taser gun misalnya atau senjata ringan seperti pistol. Kedua-dua opsyen ini sedang diteliti Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri sesuai dengan arahan Jemaah Menteri, saya sampaikan kepada beliau untuk pelaksanaan.


"Dari segi fasa pelaksanaan, kita nak persiapkan mereka dengan yang mana dulu sama ada taser gun atau pistol atau serentak, ini akan diperhalusi oleh Ketua Setiausaha Kementerian," katanya dipetik.


Saifuddin sebelumnya hadir ke Program Pemurnian Al-Quran Kementerian Dalam Negeri di Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah di Pelabuhan Klang pada Jumaat.


Sementara itu jelasnya, proses perolehan persenjataan tersebut akan dimulakan sebelum akhir tahun ini.


"Saya telah memaklumkan kepada Ketua Setiausaha bahawa tidak boleh ada sebarang kelewatan, terutama memandangkan tugas anggota AKPS yang berdepan pelbagai bentuk ancaman dalam melaksanakan tanggungjawab mereka," tambahnya.


Dalam kejadian 25 Feb lepas, Mohd Nasaruddin yang sedang memandu kenderaannya ditembak kira-kira 5.40 pagi di susur masuk berhampiran Masjid Muhajirin, Bukit Kayu Hitam, Kedah lebih kurang satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand.


Beliau yang ketika itu dalam perjalanan menunaikan solat subuh bagaimanapun dilapor selamat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page