top of page

Tidak perlu rebut jawatan PM sehingga gadaikan prinsip - Anwar



Sebulan selepas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diangkat sebagai Perdana Menteri ke 9, tidak dinafikan masih banyak penyokong Pakatan Harapan (PH) yang kecewa kerana mandat Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 tidak berjaya dikembalikan kepada pihak yang layak.


Bagaimanapun, bagi Pengerusi PH, Datuk Sri Anwar Ibrahim 'kegagalan' beliau untuk menjadi PM buat kesekian kalinya, sebaliknya memberi keyakinan yang lebih kuat kepada penyokong berhubung prinsip perjuangan PH yang tidak boleh dikompromi hanya kerana merebut jawatan PM.


"Kalau kita lihat dalam kerangka lebih besar, yang kita nak bawa kerangka perubahan, bukan nak rebut jawatan PM at all cost. Kalau itu cita-cita saya, saya kompromilah. Kes mahkamah tutup, duit bagi, projek bagi, yang tak layak pun bagi jawatan menteri, lingkup negara.


"Saya tengok kawan-kawan keluh kesah dan kecewa, apa mesejnya? Mesejnya rakyat biasa tidak boleh diperbodohkan. Rakyat tahu apa yang baik. Jadi harapan rakyat itu beri kekuatan kepada saya.


"Hikmahnya kita tidak bersekongkol atau menggadaikan prinsip sehingga mengorbankan kepentingan rakyat. Kemudian dipaparkan kenyataan sebenar, orang-orang lama (menteri) dengan rekod yang sudah kecundang masih diangkat semula," kata Anwar dalam program "Sembang Spontan Bersama Afdlin Shauki", malam tadi.


Pendedahan julung-julung kali isi hati Presiden KEADILAN selepas tidak dilantik sebagai PM itu biar pun santai tetapi berterus terang tentang tidak perlunya penyokong berasa kecewa andainya terpaksa menggadaikan prinsip hanya kerana ingin kembali berkuasa.


Anwar sebaliknya meminta penyokong melihat hakikat yang berlaku, Ismail biar pun memenangi perebutan jawatan PM tetapi dikecam setiap hari kerana rakyat rasa putus harapan akan mendapat kerajaan yang mampu membela kebajikan mereka.


"Dikekalkan jawatan menteri, duta-duta yang kita tahu sepanjang setahun tak ada rekod kerja atau sumbangan kepada negara. Guna wang rakyat dapatkan kedudukan. Sedangkan rakyat nak dapat RM40 sebulan tambahan pun sukar. Ini pencerahan mendidik rakyat dan beri kesedaran kepada kita.


"Kemudian lantik lagi mantan PM sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara. Gagal Covid, gagal ekonomi, nak pulih apa?


"Rakyat tentunya cerdik. Jangan kita fikir rakyat tak boleh berfikir," katanya.


Percaturan politik seperti itu, kata Ahli Parlimen Port Dickson itu amat menghina rakyat, seolah-olah mereka tidak penting sama sekali sebaik kertas undi dikira dan pemenang PRU diumumkan.


"Percaturan politik kini di kalangan golongan kaya dan berkuasa. Siapa menteri, siapa GLC, timbalan menteri. Bukan dasar. Dasar tidak berubah. Mereka tidak peduli apa sentimen rakyat. Rakyat buat pilihan kami ketepikan, kami atur dulu kepentingan kami.


"Bagi saya harus dibangkitkan kesedaran lebih meluas. Mereka (pemerintah) tidak kekal kerana niatnya kerusi, kewangan, kontrak, kedudukan. Dia tak akan mudah puas hati. Akan terus bergelut," kata Anwar.


Mejawab soalan Afdlin yang menggambarkan sesetengah rakyat berasa kecewa untuk mengundi kerana kerajaan pilihan mereka akhirnya boleh dikesampingkan begitu sahaja, Anwar tidak bersetuju dengan pendapat sedemikian.


Katanya, rakyat perlu kekal mengundi dalam PRU akan datang kerana jika tokoh-tokoh sedia ada telah mengecewakan mereka maka PH akan memilih calon-calon baharu yang lebih muda dan berwibawa untuk ditawarkan.


"Kita kecewa dengan mereka, ada yang kata dalam PH pun ada beberapa kelemahan, saya tidak nafikan. Tetapi mustahil kita tidak ada harapan baru. Dalam kalangan pimpinan, atau pun yang muda ada yang boleh memberikan satu pengharapan.


"Jadi ini kebijaksanaan dalam sistem demokrasi. Kita cuba, orang ini gagal dan kita tukar. Tetapi kalau kita tengok kelompok maha kaya dan membolot harta, menipu maka kita singkirkanlah. Biar ada kematangan politik rakyat.


"Saya yakin dengan prestasi PRU 2004, 2008, 2013 dan 2018 (oleh PH) kematangan rakyat itu meningkat," katanya lagi.



0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page