Tiada kes penculikan untuk wang tebusan di Pantai Timur Sabah sejak 2020


Tiada kes penculikan untuk wang tebusan dilaporkan di Pantai Timur Sabah sejak 2020, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar).
Beliau berkata pencapaian itu hasil komitmen berterusan Kerajaan MADANI melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), agensi keselamatan serta Kerajaan Sabah dalam memastikan keselamatan rakyat dan pelawat di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZone).
"Suatu ketika dahulu, ancaman penculikan untuk wang tebusan (kidnap for ransom) pernah menjadi antara cabaran utama di Pantai Timur Sabah. Alhamdulillah sejak tahun 2020, tiada lagi kes seumpama ini dilaporkan.
"Perubahan ini tidak berlaku dengan sendiri. Ia adalah hasil komitmen berterusan Kerajaan MADANI melalui KDN, ESSCOM dan seluruh agensi keselamatan bersama Kerajaan Sabah yang setiap hari bertugas mempertahankan kedaulatan negara serta memastikan keselamatan rakyat dan pelawat di ESSZone," katanya dalam muat naik di media sosial.
Saifuddin berkata pencapaian aspek keselamatan itu turut menjadi antara objektif Program Taklimat dan Tinjauan Keselamatan Bersama Perwakilan Asing ke ESSZone Tahun 2026 yang diadakan di Sandakan.
Menurutnya, KDN membawa wakil diplomatik dari 11 negara melawat Pantai Timur Sabah bagi melihat sendiri tahap keselamatan yang dicapai hasil usaha berterusan kerajaan Persekutuan dan Sabah.
"Apabila mereka menyaksikan sendiri realiti di lapangan, keyakinan terhadap Sabah sebagai destinasi yang selamat untuk dilawati, dilabur dan diterokai akan terus diperkukuh," katanya.
Beliau berkata jaminan keselamatan mampu meningkatkan keyakinan pelancong dan pelabur, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi yang memberi manfaat kepada komuniti setempat, Sabah dan negara.
Pada masa sama, Saifuddin berkata keselamatan bukan sekadar penting untuk pertumbuhan ekonomi, malah menjadi asas kepada pembangunan mampan dan usaha pemuliharaan alam sekitar.
Katanya, khazanah seperti Pulau Selingan, hutan hujan tropika Sabah, beruang matahari Borneo dan orang utan merupakan warisan negara yang perlu dipelihara.
"Apabila alam sekitar dipelihara, pembangunan yang lestari dapat diteruskan, sekali gus memastikan kekayaan biodiversiti negara terus memberi manfaat kepada generasi hari ini dan akan datang," katanya.
"Keselamatan membina keyakinan. Keyakinan menjana peluang. Peluang memacu pembangunan. Dan pembangunan yang bertanggungjawab memastikan khazanah negara terus terpelihara demi masa depan Sabah dan Malaysia," katanya lagi.




Browsing through independent publication pages often uncovers unique perspectives on current trends.
IT teams benefit greatly from studying modern B2B systems before committing to major infrastructure upgrades.