Tiada keperluan N Sembilan wujudkan jawatan Timbalan Exco - BERSIH
- Suara Keadilan

- 7 hours ago
- 1 min read

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menegaskan tiada keperluan untuk kerajaan baharu Negeri Sembilan mewujudkan jawatan Timbalan Exco.
Pengerusinya, Faisal Abdul Aziz (gambar) menolak alasan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bahawa cadangan itu bertujuan mengukuhkan pentadbiran negeri.
Jelasnya, pentadbiran terdahulu di bawah pimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun telah membuktikan mampu memberi khidmat dan mentadbir negeri dengan cemerlang tanpa perlu mewujudkan jawatan tersebut.
"Jika ingin kukuhkan pentadbiran, lebih baik kerajaan Negeri Sembilan di bawah Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim kukuhkan Jawatankuasa Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Rata-rata DUN perlu banyak penambahbaikan termasuk mengukuhkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Kerajaan (PAC) Negeri dan mewujudkan Jawatankuasa Pilihan yang bersesuaian seperti mengikut portfolio Exco seperti yang diamalkan di DUN Selangor," katanya dipetik laporan media.
Pada Selasa, Ismail yang juga ADUN Juasseh antara lain memberi bayangan bahawa cadangan mewujudkan jawatan Timbalan Exco adalah langkah kompromi untuk memberi peranan kepada lebih ramai ADUN dalam pentadbiran negeri susulan kekangan jumlah kuota Exco sedia ada.
Sementara itu Faisal menegaskan, berbanding mewujudkan jawatan baharu, lebih wajar untuk pentadbiran Ismail menubuhkan Jawatankuasa Tambahan berdasarkan isu-isu keutamaan serta melakukan penambahbaikan pasukan kajian supaya perbahasan dewan lebih bermutu.
"Maka di sini ADUN boleh memainkan peranan untuk kukuhkan pentadbiran," ujarnya.




Comments