top of page

TH, FELDA: Banyak perkara boleh dibuat jika berbilion ringgit itu tidak hilang

  • Writer: Sidiqin Omar
    Sidiqin Omar
  • 1 day ago
  • 2 min read
DS Anwar berkempen pada malam terakhir di pekan Rompin, membantu calon Jeram Padang, G Manivanan
DS Anwar berkempen pada malam terakhir di pekan Rompin, membantu calon Jeram Padang, G Manivanan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata lebih banyak perkara boleh dilaksanakan untuk rakyat sekiranya wang negara bernilai berbilion ringgit tidak hilang akibat salah guna kuasa, rasuah dan penyelewengan sebelum ini.


Beliau berkata, kerajaan hari ini terpaksa memberi tumpuan untuk memulihkan semula kedudukan kewangan beberapa institusi yang berdepan masalah akibat kelemahan pengurusan terdahulu, termasuk membayar semula komitmen hutang yang besar.


Anwar berkata, isu sebenar bukan soal istilah tertentu seperti “sakau”, sebaliknya melibatkan perkara yang lebih serius seperti salah guna kuasa, rasuah, penyelewengan serta kegagalan mematuhi aturan dan proses audit.


"Bayangkan RM12 bilion duit ini, termasuk wang rakyat di kampung-kampung. Kerajaan terpaksa selamatkan, kalau tidak (institusi berkaitan) boleh bankrap," katanya dalam ceramah Grand Finale HARAPAN di pekan Rompin, malam tadi.


Anwar berkata isu Tabung Haji antara contoh jelas bagaimana institusi rakyat terkesan akibat masalah pengurusan dan keputusan terdahulu, namun kini sedang ditangani melalui tindakan pembetulan bagi memastikan kepentingan pendeposit serta jemaah haji terus dilindungi.


Beliau turut menyentuh isu Felda yang menurutnya menanggung hutang sekitar RM10 bilion ketika diambil alih, menyebabkan kerajaan perlu menyediakan peruntukan hampir RM1 bilion setiap tahun bagi membayar komitmen hutang lama.


Menurut Anwar, beban kewangan akibat masalah lalu itu sepatutnya boleh digunakan untuk manfaat rakyat sekiranya tidak berlaku kerugian besar.


Beliau berkata, ketika kerajaan kini mengambil pendekatan membaikpulih Felda, perhatian terhadap kebajikan pekerja dan peneroka, antaranya melalui kelulusan RM450 juta bagi pembinaan rumah pekerja Felda yang telah lama tidak dibaiki tetap diteruskan.


"Peneroka bekerja, pengurusan juga ramai yang baik. Masalahnya ialah penyelewengan yang berlaku sebelum ini," katanya sambil menambah, laporan berkaitan isu Felda juga akan diperincikan melalui pasukan petugas khas bagi memastikan langkah pembetulan dapat dibuat secara telus.


"Mungkin dalam beberapa bulan, siap laporan Task Force Felda. Kita keluarkan pula, baca pasal Felda.


"Ada kelemahan, ada kesalahan, harus diperbaiki. Ini tanggungjawab kita," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page