top of page

[Terkini] Anthony Loke letak jawatan Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
6 hours ago
2 min read
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mengotakan janjinya dengan mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini berhubung pelaksanaan tahanan rumah terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.


Beliau berkata keputusan itu selaras dengan pendirian yang telah diumumkannya Jumaat lalu, sekali gus menegaskan peletakan jawatan berkenaan dibuat berdasarkan prinsip yang dipegangnya.


"Susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari ini untuk Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani tahanan rumah dan selaras dengan pendirian yang telah saya umumkan pada Jumaat lalu, peletakan jawatan saya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta," katanya dalam kenyataan media.


Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan dan mandat diberikan kepadanya untuk menganggotai Jemaah Menteri sejak Disember 2022.


Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada barisan pengurusan tertinggi serta seluruh warga Kementerian Pengangkutan (MOT) atas komitmen dan kerjasama sepanjang menerajui kementerian berkenaan.


Dalam pada itu, Anthony Loke memberi jaminan akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan proses peralihan tugas berjalan lancar.


"Saya akan memberikan kerjasama sepenuhnya untuk memastikan urusan peralihan tugas berjalan lancar dan segala tanggungjawab dan inisiatif kementerian terus dilaksanakan demi kepentingan rakyat," katanya.


Peletakan jawatan itu menyusul keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung permohonan pelaksanaan tahanan rumah Najib.


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan Najib Razak akan dipindahkan daripada Penjara Kajang ke kediamannya di Taman Duta, bagi menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.


Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aslam Zainuddin membatalkan perintah pelepasan atas pembayaran denda bertarikh 6 November lalu.


"Ia digantikan perintah bersyarat bahawa tertuduh hendaklah menjalani hukuman penjara melalui tahanan rumah," katanya dipetik laporan media.


Aslam memerintahkan Najib menjalani baki hukuman penjara enam tahun yang dikurangkan, di kediamannya di Jalan Langgak Duta sehingga 23 Ogos 2028, selaras dengan pengampunan diraja bersyarat yang diberikan pada 18 September lalu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page