Tengku Zafrul sedia kembalikan Parlimen Pandan kepada KEADILAN
- Suara Keadilan

- 16 hours ago
- 1 min read

Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (gambar) menyatakan kesediaan untuk merampas semula kerusi Parlimen Pandan sekiranya diberi peluang bertanding di kerusi itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Beliau berkata, bahawa cabaran berdepan dengan 'gergasi politik' seperti Datuk Seri Rafizi Ramli tidak dilihat sebagai halangan utama.
"Apa yang lebih penting ialah kita buat kerja, di mana-mana pun berkhidmat sama ada di Pandan, Ampang atau mana-mana yang kita ditugaskan," katanya dipetik.
Tengku Zafrul ditemui selepas menghadiri program Korban Perdana Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pandan dengan kerjasama Dagang Avenue, Kompleks Muhibah dan Genk di Ampang semalam.
Turut hadir, Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandan Indah, Datuk Izham Hashim serta Ketua AMK Pandan, Mohd Ifwat Amir Hamirudin.
Rafizi yang kalah dalam pemilihan KEADILAN tahun lalu membuat tindakan mengejutkan apabila meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi. Beliau kemudian mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen dan keluar dari KEADILAN bagi membentuk parti baharu.
Susulan ketiadaan Ahli Parlimen bagi mewakili rakyat Pandan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadikan kawasan tersebut sebagai kawasan Parlimen angkat.
Tengku Zafrul telah dipertanggungjawabkan sebagai pegawai pemantau bagi mengatur semula pentadbiran pusat khidmat dan jentera parti di kawasan tersebut.




Comments