top of page

Teguran Raja perlu didekati dengan hikmah, hormat Perlembagaan — Sivamalar

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 2 days ago
  • 2 min read

Semua pihak termasuk pemimpin politik diingatkan supaya berhati-hati dan berimbang dalam membicarakan isu berkaitan Rukun Negara, Perlembagaan Persekutuan dan Institusi Raja-Raja Melayu demi menjaga keharmonian negara.


Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Sivamalar Genapathy berkata, perbahasan berkaitan asas kenegaraan tidak boleh dilihat hanya daripada sudut politik tertentu.


Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pemimpin DAP, Tony Pua berkaitan isu melibatkan Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan.


"Dalam isu yang menyentuh asas kenegaraan negara, adalah penting untuk semua pihak termasuk rakan-rakan dalam ruang politik untuk berhati-hati, seimbang dan melihat keseluruhan kerangka, bukan hanya daripada sudut yang menyokong sesuatu pandangan tertentu," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut beliau, mukadimah Rukun Negara jelas menekankan perpaduan nasional, pemeliharaan cara hidup demokratik, keadilan saksama serta penghormatan terhadap kepelbagaian budaya yang bergerak seiring dengan sistem Raja Berperlembagaan.


"Dalam konteks Malaysia, semua prinsip ini bergerak seiring dengan kerangka Raja Berperlembagaan yang menjadi sebahagian daripada identiti kenegaraan negara, bukannya sesuatu yang boleh diperlekeh atau ditafsir secara sempit demi kepentingan politik," katanya.


Beliau turut menegaskan bahawa tiada pihak yang mengatakan Malaysia ditadbir melalui “decree” sesuka hati seperti yang cuba digambarkan sesetengah pihak.


Dalam kenyataan itu, beliau turut memetik pandangan Almarhum Sultan Azlan Shah menerusi esei bertajuk The Role of Constitutional Rulers mengenai peranan Raja Berperlembagaan yang melangkaui tafsiran literal Perlembagaan. Iaitu “A king is a king, whether he is an absolute or constitutional monarch. But it is a mistake to think that the role of a king in a constitutional monarchy is confined to what is laid down by the Constitution. His role far exceeds those constitutional provisions.”


"Pandangan ini mengingatkan kita bahawa sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia mempunyai peranan, nilai dan roh yang lebih luas daripada sekadar bacaan literal terhadap teks perundangan, dan wajar difahami dalam konteks sejarah serta struktur kenegaraan negara," katanya.


Tambah beliau, kenyataan yang dilihat mempertikai titah atau teguran Sultan boleh ditafsirkan sebagai tidak menghormati semangat Rukun Negara khususnya prinsip Kesetiaan Kepada Raja dan Negara.


"Malaysia memerlukan perbahasan yang matang, berasaskan fakta dan kefahaman menyeluruh terhadap sistem kenegaraan, dengan ruang perbezaan pandangan yang diraikan secara bertanggungjawab tanpa menjejaskan keharmonian Institusi Raja yang menjadi tunjang negara," katanya.


Untuk rekod, pada 19 Mei lalu, Sultan Sharafuddin menyarankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan mantan Exco Selangor, Ronnie Liu hadir sekurang kurangnya seminggu sekali ke Dataran Selangor bagi membaca Rukun Negara yang ditulis di plak di situ selain menghormati institusi raja.


Susulan itu, Tony Pua dalam hantaran di Facebook didakwa berkata bahawa Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan yang mana kuasa Raja secara amnya terhad kepada aspek tertentu termasuk adat Melayu, Islam serta fungsi Perlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar dan perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).


Hantaran itu telah mengundang kemarahan masyarakat dan beberapa pemimpin politik, manakala pihak polis memaklumkan sebanyak 28 laporan telah diterima di seluruh negara berkaitan hantaran berkenaan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page