Tahun Baharu Cina: Perkukuh semangat muhibah, tingkat rasa hormat - PM
- 1 hour ago
- 1 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus memperkukuh keharmonian dan semangat muhibah sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026 sambil menegaskan kepentingan rasa hormat serta ihsan dalam mendepani cabaran semasa.
Dalam perutusan khas sempena Tahun Kuda, Perdana Menteri berkata perayaan itu sentiasa mengingatkan rakyat tentang makna kemakmuran, harapan dan kekuatan untuk melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan.
Menurutnya, Tahun Kuda melambangkan ketekunan, keberanian dan semangat juang namun pada masa sama menuntut kebijaksanaan serta kesederhanaan dalam setiap tindakan.
"Tatkala wacana awam semakin mudah diganggu emosi dan hasutan, kita tidak boleh membiarkan perbezaan pandangan meretakkan hubungan dan menghakis rasa percaya yang telah terbina antara rakyat Malaysia sejak sekian lama," katanya dalam hantaran di media sosial.
Perdana Menteri berkata perbezaan yang wujud dalam masyarakat majmuk seharusnya dijadikan ruang untuk memperteguh semangat muhibah, menolak prasangka serta memilih jalan dialog dan rundingan.
Beliau turut memetik ajaran Confucius yang menekankan bahawa keharmonian lahir apabila manusia saling menghormati dan memahami antara satu sama lain, sekali gus menjadi asas kukuh kepada kehidupan aman dalam masyarakat berbilang kaum dan kepercayaan di negara ini.
"Saya yakin Malaysia akan terus melangkah gagah apabila keharmonian, rasa hormat dan ihsan dijadikan pegangan bersama. Semoga tahun ini seluruh rakyat Malaysia dilimpahkan kesejahteraan dan kemakmuran," katanya.
Beliau turut mengucapkan “Gong Xi Fa Cai, Xin Nian Kuai Le” serta “Ma Nian Xin Da Yun” kepada seluruh masyarakat Tionghua dan rakyat Malaysia yang meraikannya.





