top of page

Tabung Haji sasar laksana 90 peratus cadangan RCI - Rashid

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 18 hours ago
  • 3 min read
TS Rashid Hussain dalam sesi Dialog Ummah Realiti dan Masa Depan Tabung Haji di Bangi hari ini
TS Rashid Hussain dalam sesi Dialog Ummah Realiti dan Masa Depan Tabung Haji di Bangi hari ini

Lembaga Tabung Haji (TH) menyasarkan pelaksanaan cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan institusi itu dipertingkatkan kepada 90 peratus berbanding 76 peratus yang telah dilaksanakan ketika ini.


Pengerusinya Tan Sri Rashid Hussain berkata, sebahagian besar daripada 25 cadangan RCI telah dilaksanakan dengan pihaknya kini memberi tumpuan kepada syor yang memerlukan penglibatan serta penyelarasan dengan pihak luar.


"Kami telah melaksanakan kira-kira 76 peratus daripada keseluruhan syor. ...lebih tinggi daripada sasaran yang saya tetapkan sendiri.


"Bahagian yang perlu diselesaikan untuk melengkapkan keseluruhan proses ialah perkara yang melibatkan hubungan dan kerjasama dengan pihak luar," katanya kepada pemberita selepas Dialog Ummah Realiti dan Masa Depan Tabung Haji di Bangi hari ini.


Rashid yang juga bekas anggota suruhanjaya diraja itu berkata sebahagian daripada cadangan RCI itu melibatkan isu kawal selia yang kini hampir selesai.


Beliau berkata proses berkenaan mengambil masa kerana ia melibatkan perbincangan dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) termasuk usaha menentukan bentuk kawal selia yang bersesuaian untuk pelaburan TH.


"Bahagian yang perlu melengkapkan proses ini sebenarnya melibatkan hubungan dengan pihak luar dan perkara itu tidak pernah mudah kerana ia adalah proses yang panjang," katanya.


Menurut Rashid, cadangan yang sedang diberi perhatian ialah memastikan bahagian pelaburan yang akan diasingkan atau dikenal pasti daripada struktur TH mempunyai kawal selia kewangan yang sewajarnya tanpa menjejaskan kedudukan TH sebagai sebuah institusi yang kekal utuh.


Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan standard keselamatan dan tadbir urus yang lebih tinggi dapat diwujudkan demi melindungi kepentingan pendeposit.


Dalam perkembangan sama, Rashid menegaskan TH perlu terus dikendalikan secara profesional dan dilihat sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang berwibawa khususnya dalam usaha memudah cara urusan ibadah haji umat Islam.


Katanya profesionalisme turut diterapkan dalam komposisi Lembaga Pengarah TH yang kini berteraskan kriteria "fit and proper" serta keseimbangan kemahiran seperti yang disarankan RCI.


"Tabung Haji sepatutnya dilayan sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang berwibawa dengan tujuan memudah cara urusan haji dan lebih cepat ia dikendalikan oleh golongan profesional, lebih baik supaya ia dapat diterima oleh seluruh masyarakat Islam," katanya.


Rashid turut memberi jaminan bahawa tiada campur tangan politik berlaku dalam pengurusan TH sepanjang tempoh beliau menerajui institusi berkenaan.


Beliau berkata TH kini berada dalam proses pemulihan yang kukuh selepas langkah membersihkan kunci kira-kira, membina rizab, melupuskan pelbagai liabiliti serta memperkemas struktur tadbir urus dilaksanakan.


"Alhamdulillah, kita berada di landasan pemulihan. Kita sudah membersihkan kunci kira-kira, mula membina rizab, membuat hapus kira dan meletakkan pelbagai tadbir urus awam.


"Buktinya, kita kini mencatat keuntungan, keuntungan meningkat dan dividen juga meningkat sejak tiga tahun lalu. Kami yakin trend ini akan berterusan," katanya.


Beliau berkata usaha memperkukuh struktur kawal selia dan tadbir urus itu perlu diteruskan bagi memastikan keyakinan pendeposit terhadap TH dapat dipelihara dalam jangka panjang.


Dalam pada itu, mengenai persoalan yang dibangkitkan dalam RCI mengenai sama ada struktur sukuk boleh diperkukuhkan, beliau menyerahkan perkara itu kepada pihak kerajaan.


"Namun seperti yang dinyatakan dalam perbahasan di Parlimen, kami mendapat banyak keyakinan daripada kerajaan dan negara ini tidak pernah mengalami keadaan mungkir (default) yang seumpamanya.


"Mudah-mudahan keadaan itu akan terus kekal.


"Saya fikir demi kepentingan para pendeposit dan pemilik modal, semua isu ini boleh diselesaikan.


"Saya berada di sini dan akan melakukan apa sahaja yang saya mampu untuk mengukuhkan kedudukan kewangan Tabung Haji serta memastikan keyakinan negara terhadapnya pada masa hadapan terus dipelihara," ujarnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page