Susunan politik baharu Malaysia masih dalam proses pembentukan


Landskap politik Malaysia kini berada dalam tempoh peralihan apabila susunan politik baharu sedang dibentuk di peringkat negeri, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Menurut Fahmi, perubahan hubungan antara parti serta perkembangan penjajaran politik menunjukkan struktur baharu masih belum terbentuk sepenuhnya selepas susunan politik yang telah lama mendominasi negara mengalami perubahan.
Beliau berkata perkembangan itu dapat dilihat apabila setiap negeri, khususnya melibatkan Umno-BN menyaksikan usaha membentuk susunan politik masing-masing dengan pakatan yang berbeza.
"Yang lama, orde lama dah tiada, tetapi yang baharu belum terbentuk sepenuhnya," kata beliau ketika menjadi tetamu program podcast The Tiger Show yang dihoskan wartawan Amin Iskandar.
Fahmi yang juga Ketua Penerangan KEADILAN berkata, kerjasama antara parti pada masa ini tidak semestinya menyebabkan setiap parti kehilangan identiti masing-masing.
Beliau turut menyentuh kemungkinan PH dan Barisan Nasional (BN) menggunakan formula berbeza dalam menghadapi pilihanraya akan datang.
Katanya, proses pembentukan susunan politik baharu itu masih berjalan dan struktur yang bakal terbentuk tidak semestinya menyerupai susunan politik sebelum ini.




Comments