Stok bekalan petrol, diesel, LPG seluruh negara mencukupi - Armizan
- Azuan Ab Rahman

- 3 hours ago
- 1 min read

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali (gambar) menafikan dakwaan Sabah berdepan kekurangan bekalan petrol, diesel dan LPG.
Menerusi satu perkongsian di media sosial, beliau memaklumkan bekalan dalam negara ketika ini berada dalam keadaan stabil dan mencukupi, malah lebih baik berbanding beberapa negara lain di rantau ini yang berdepan gangguan bekalan.
Justeru beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik kerana bekalan semasa adalah mencukupi.
"Isu yang dibangkitkan sebelum ini hanyalah kes terpencil melibatkan kelewatan penghantaran akibat faktor logistik, khususnya sepanjang musim perayaan yang menyaksikan peningkatan permintaan.
"Perkara ini telah ditangani dan pemantauan berterusan dilaksanakan bagi memastikan penghantaran bekalan berjalan lancar," katanya.
Menerusi kenyataan sama beliau mengingatkan bahawa sebarang penjualan dan pengisian bahan api ke dalam bekas selain tangki kenderaan tanpa permit khas adalah satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
Tegasnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan.
"Pengusaha stesen minyak juga diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan dan melaporkan sebarang pelanggaran kepada pihak berkuasa," katanya.




Comments