top of page

Spekulasi rombakan Kabinet: "Masih awal lagi" - PM Anwar

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
7 hours ago
1 min read
DS Anwar merasmikan Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) dan BuildXpo Malaysia 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur
DS Anwar merasmikan Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) dan BuildXpo Malaysia 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan sebarang keputusan berhubung rombakan Kabinet susulan perkembangan membabitkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan kedudukan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai terlalu awal untuk diperkatakan.


"Masih awal lagi," katanya ringkas ketika ditemui selepas merasmikan Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) dan BuildXpo Malaysia 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur hari ini.


Perdana Menteri diminta mengulas kemungkinan perubahan dalam barisan Jemaah Menteri susulan pengumuman peletakan jawatan Loke serta tempoh perkhidmatan Amir Hamzah sebagai Ahli Dewan Negara yang dijadualkan berakhir pada 11 Disember ini.


Jumaat lalu, Loke mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta ketika bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di kediamannya bagi menjalani tahanan rumah.


Keputusan itu dibuat bagi menunaikan komitmen Loke berhubung pendirian DAP yang tidak bersetuju dengan keputusan membabitkan pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib.


Pada 29 September lalu, Loke dilaporkan telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Anwar namun diminta meneruskan tugas buat sementara waktu.


Sementara itu, mengulas tempoh perkhidmatan Amir Hamzah sebagai Ahli Dewan Negara, Anwar berkata beliau masih belum menerima sebarang makluman berhubung perkara berkenaan.


Laporan media sebelum ini menjangka kemungkinan berlaku perubahan dalam Kabinet susulan dua perkembangan berkenaan termasuk penggantian wakil DAP dan seorang lagi anggota pentadbiran yang berstatus Senator.


Amir Hamzah dilantik sebagai Senator pada 12 Disember 2023.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page