Sistem MyDigital ID dipindah ke JPM pastikan pendekatan holistik
- Suara Keadilan
- Mar 3
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pemindahan sistem pengenalan diri MyDigital ID ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) dibuat bagi memastikan pendekatan lebih holistik sejajar inisiatif pendigitalan nasional, kata Dr Zaliha Mustafa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) itu berkata, pemindahan sistem itu antara lain adalah untuk mempercepatkan pembangunan serta penyelarasan dasar berkaitan identiti digital dalam perkhidmatan kerajaan dan sektor swasta.
''Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 1 Mac 2024 telah memutuskan agar projek ini diselaraskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sehingga siap.
''Ini adalah daripada keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri atas beberapa pertimbangan.
''Antara (pertimbangannya) adalah disebabkan keselamatan data kerana Agensi Keselamatan Siber Negara (NCSA) berada di sana,'' katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Sehubungan itu jelas beliau lagi, jumlah RM40 juta yang diterima di bawah P6 JPM merupakan pindah butiran dan bukannya tambahan peruntukan belanja pembangunan.
''Dalam konteks projek kerajaan, pindah butiran merujuk kepada proses pemindahan tanggungjawab, peruntukan atau elemen tertentu dalam satu projek daripada satu entiti atau kementerian kepada entiti atau kementerian yang lain,'' jelas Ahli Parlimen Sekijang itu.
Commentaires