Sidang plenari RMK13: Pendekatan 'memanusiakan perusahaan', tangani isu sosial
- Suara Keadilan

- 1 day ago
- 2 min read

Pengerusi Wanita Inspirasi Kuantan (WINK) yang juga Ketua Wanita KEADILAN Pahang, Sridayu Samsuri, dijemput sebagai panelis Sidang Plenari bertajuk "RMK13: Pemberdayaan Sektor Ketiga" sempena program RISE x Tamu 2026 anjuran APPGM-SDG Parlimen Malaysia di Kota Bharu, Kelantan.
Program yang berlangsung dari 19 hingga 21 Jun itu menghimpunkan pelbagai pemegang taruh bagi membincangkan usaha memperkasa sektor ketiga serta ekonomi sosial menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Dalam sesi plenari berkenaan, Sridayu berkongsi pandangan mengenai kepentingan memperkasakan perusahaan sosial berasaskan komuniti sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan negara.
"Sesi plenari memberi tumpuan kepada pemerkasaan Sektor Ketiga dalam pemantauan dasar dan pelan negara RMK13.
"Antara fokus utama ialah menyelaraskan perusahaan sosial berasaskan komuniti dengan visi RMK13 untuk ekonomi sosial, serta menekankan pendekatan 'memanusiakan perusahaan' dan menangani isu-isu sosial akar umbi," menurut kenyataan itu.
Sebagai Pengerusi Wanita Inspirasi Kuantan dan Ketua Wanita KEADILAN Pahang, beliau turut membawa perspektif berkaitan pemerkasaan wanita serta golongan rentan dalam merangka hala tuju ekonomi sosial negara.
Menurut kenyataan itu, penglibatan Sridayu mencerminkan peranan aktif kepimpinan wanita dalam memperkukuh pembangunan komuniti dan agenda pembangunan mampan.
"Sebagai Pengerusi Wanita Inspirasi Kuantan (WINK) dan Ketua Wanita KEADILAN Negeri Pahang, Sridayu membawa suara komuniti wanita dan kelompok rentan dalam merangka hala tuju ekonomi sosial negara.
"Penglibatan beliau mencerminkan peranan aktif Wanita KEADILAN dalam agenda pembangunan lestari dan pemerkasaan ekonomi komuniti," menurut kenyataan itu.
Program RISE x Tamu 2026 merupakan gabungan Persidangan Memperkasa Komuniti, Menampilkan Impak (RISE) dan Karnival Keusahawanan Berasaskan Komuniti (TAMU SDG) yang disokong beberapa organisasi termasuk APPGM-SDG Parlimen Malaysia, Koperasi Matlamat Pembangunan Lestari Berhad, PRS-MPL, MySDG Centre for Social Inclusion dan Akademi MySDG.
Antara objektif utama program ialah membina kapasiti rakan solusi APPGM-SDG, memperkasa sektor ketiga dalam RMK13, mengukuhkan jaringan kerjasama strategik serta menyediakan platform pemasaran bagi produk komuniti.
Kenyataan itu menyifatkan penyertaan Sridayu di pentas nasional selari dengan usaha memperkukuh penyertaan wanita dalam proses penggubalan dasar dan pembangunan negara ke arah Malaysia MADANI.




Comments