top of page

Siasatan RCI Tabung Haji: SPRM tahan bekas menteri

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 4 hours ago
  • 1 min read

Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap penemuan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) terus diperluaskan apabila seorang bekas menteri ditahan hari ini.


Lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira jam 4.30 petang selepas hadir di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya bagi membantu siasatan berhubung isu yang dibangkitkan dalam laporan RCI berkenaan.


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman mengesahkan penahanan itu, menurut laporan Berita Harian.


"Beliau akan direman di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi esok," katanya menerusi laman sosial TikTok SPRM hari ini.


Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.


Perkembangan terbaharu itu menunjukkan siasatan SPRM terhadap dapatan RCI TH kini melibatkan lebih banyak individu yang mempunyai kaitan dengan pengurusan dan pentadbiran institusi berkenaan.


Hal itu susulan penahanan seorang bekas pengerusi TH dan seorang bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan pada 26 Ogos lalu, yang kedua-duanya turut berusia lingkungan 60-an.


Selain penahanan, SPRM sebelum ini memanggil beberapa individu untuk memberikan keterangan, termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH, bekas CEO sebuah syarikat perkapalan, seorang pengarah syarikat pembinaan, bekas pengarah syarikat serta empat bekas pengurusan kanan TH.


Siasatan itu susulan Laporan RCI TH yang didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu, yang antara lain mengenal pasti kelemahan tadbir urus, campur tangan politik serta isu berkaitan keputusan kewangan dan pelaburan institusi itu bagi tempoh 2014 hingga 2020.


RCI turut mengesyorkan audit forensik terhadap beberapa pelaburan bermasalah selain tindakan susulan terhadap laporan atau aduan berhubung kemungkinan berlaku salah laku.


Susulan penemuan berkenaan, agensi penguat kuasa diarahkan menyambung semula siasatan terhadap perkara yang dibangkitkan dalam laporan RCI, dengan tindakan sewajarnya dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page