top of page

Siasat proses pengundian di Jeram Padang: Manivanan buat laporan polis

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 5 hours ago
  • 3 min read
Manivanan (tiga dari kanan) membuat laporan polis di Balai Polis Rompin, Jempol berhubung beberapa insiden dalam pengendalian pilihanraya pada 1 Ogos lalu
Manivanan (tiga dari kanan) membuat laporan polis di Balai Polis Rompin, Jempol berhubung beberapa insiden dalam pengendalian pilihanraya pada 1 Ogos lalu

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi N.07 DUN Jeram Padang, Manivanan Gowin, membuat laporan polis hari ini berhubung beberapa perkara yang didakwa berlaku ketika proses pengundian di Saluran 5, Sekolah Kebangsaan Rompin pada 1 Ogos lalu.


Manivanan berkata laporan itu dibuat bagi membolehkan siasatan bebas, profesional dan menyeluruh dijalankan bagi menentukan sama ada berlaku sebarang pelanggaran undang-undang, peraturan atau prosedur pilihanraya.


Menurut beliau, antara perkara utama yang dilaporkan ialah penemuan kertas berwarna biru yang mempunyai tulisan “UNDILAH BARISAN NASIONAL” bersama logo Barisan Nasional (BN) pada kedua-dua belah kertas.


"Saya melihat beberapa pengundi membawa kertas berkenaan ke dalam bilik mengundi dan pada satu ketika, kertas tersebut berada di meja petugas serta dikendalikan oleh Ketua Tempat Mengundi (KTM)," katanya dalam kenyataan hari ini.


Manivanan berkata tujuan sebenar kewujudan bahan berkenaan perlu disiasat pihak berkuasa kerana ia berada dalam bilik mengundi dan didakwa mempunyai kaitan dengan proses pengundian.


Beliau turut meminta siasatan meneliti proses bantuan kepada pengundi uzur, orang kurang upaya (OKU) atau pengundi yang tidak berupaya membuat penandaan sendiri, termasuk pematuhan terhadap prosedur Orang Yang Dipercayai dan penggunaan Borang 10.


“Dimaklumkan bahawa petugas SPR yang telah menanda kertas undi bagi pihak mereka,” katanya.


Selain itu, laporan berkenaan turut membangkitkan persoalan berkaitan komunikasi KTM dengan pengundi ketika proses pengundian, pengendalian teguran dan bantahan oleh ejen calon serta keputusan berkaitan penerimaan atau penolakan kertas undi yang dipertikaikan ketika pengiraan undi.


Manivanan turut meminta aspek persepsi neutraliti dan kemungkinan konflik kepentingan dalam pelantikan petugas pilihanraya diteliti.


Bagaimanapun, beliau menegaskan laporan itu bukan bertujuan menuduh guru atau guru besar tidak boleh dilantik sebagai petugas pilihan raya.


"Sebaliknya, perkara yang dibangkitkan adalah sama ada garis panduan berkaitan hubungan setempat atau tempat mengundi, konflik kepentingan dan persepsi keberpihakan telah dipatuhi dengan sewajarnya bagi memastikan proses pilihan raya kekal neutral, bebas, teratur dan diyakini oleh semua pihak," ujarnya.


Beliau turut menggesa siasatan tidak terhad kepada kejadian di Saluran 5, Sekolah Kebangsaan Rompin sahaja, sebaliknya diperluaskan ke seluruh N.07 Jeram Padang dan saluran lain di Negeri Sembilan.


"PDRM dan SPR wajar melakukan semakan dan siasatan yang lebih luas di N.07 Jeram Padang dan, di saluran-saluran lain di Negeri Sembilan," katanya.


Sehubungan itu, Manivanan meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapatkan keterangan daripada semua pihak berkaitan termasuk KTM, petugas SPR, ejen calon serta individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut.


Beliau turut meminta semua bahan bukti berkaitan, termasuk kertas berwarna biru yang mengandungi tulisan dan logo parti politik, direkodkan, dipelihara dan disiasat bagi menentukan asal-usul serta penggunaannya.


"Semua rekod rasmi bagi Saluran 5, termasuk nombor siri kertas undi, catatan KTM, rekod bantahan ejen serta dokumen berkaitan proses pengiraan undi, dipelihara dan disemak secara terperinci untuk siasatan," katanya.


Manivanan turut meminta PDRM dan SPR menentukan sama ada mana-mana kejadian yang dilaporkan melibatkan pelanggaran Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Akta Pilihan Raya 1958, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 atau mana-mana undang-undang berkaitan.


"Sekiranya sesuatu kesalahan dapat dibuktikan melalui siasatan, tindakan sewajarnya hendaklah diambil mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada," kata beliau lagi.


Dalam pada itu, Manivanan menegaskan laporan tersebut bukan bertujuan membuat tuduhan melulu terhadap mana-mana individu atau pihak.


"Tujuan laporan ini adalah untuk melindungi integriti, ketelusan, kebebasan dan keyakinan rakyat terhadap proses demokrasi serta memastikan setiap persoalan yang dibangkitkan dapat dinilai melalui proses siasatan yang sewajarnya," katanya.


Beliau turut menyatakan kesediaan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM dan SPR, termasuk memberikan keterangan lanjut mengenai kronologi kejadian serta mengenal pasti individu atau bahan yang dilihat.


"Saya berharap siasatan dapat dijalankan secara bebas, telus dan menyeluruh, serta hasilnya dimaklumkan melalui saluran yang sewajarnya demi kepentingan awam dan keyakinan terhadap proses pilihanraya," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page