Siasat Jalur Gemilang pada pakaian tidak ikut reka bentuk rasmi - SEKPUR


Pengerusi Biro Politik Sekretariat Gerak Tempur MedSos Rakyat (SEKPUR), Shahbudin Embon, memohon Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan berhubung beberapa posting media sosial yang memaparkan Jalur Gemilang pada pakaian dengan reka bentuk yang didakwa tidak sempurna atau tidak menepati reka bentuk rasmi.
Shahbudin mendakwa, siasatan wajar dilakukan bagi menentukan sama ada penggunaan imej Jalur Gemilang pada pakaian berkenaan mempunyai unsur pelanggaran undang-undang, khususnya berkaitan penggunaan lambang yang dikawal.
"Pihak PDRM dimohon menyiasat sama ada penggunaan imej Jalur Gemilang, yang merupakan lambang yang dikawal di bawah Akta 414 pada pakaian tersebut, dan seterusnya penyiarannya kepada orang awam mempunyai unsur penggunaan yang dilarang oleh akta," katanya dalam kenyataan selepas membuat laporan polis di Balai Polis Chow Kit berhubung posting Jalur Gemilang di media sosial .
Beliau berkata antara peruntukan yang dimohon untuk disiasat ialah Seksyen 3 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) 1963 (Akta 414), termasuk menentukan tujuan sebenar penggunaan imej tersebut.
"Khususnya, siasatan wajar menentukan tujuan sebenar penggunaan, termasuk sama ada ia mempunyai kaitan dengan perdagangan, perniagaan, pekerjaan, profesion atau tujuan lain yang termasuk dalam skop Seksyen 3," katanya.

Shahbudin turut memohon PDRM menentukan sama ada peruntukan Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 (Akta 193) terpakai berdasarkan keadaan, tempat, bentuk dan konteks pameran berkenaan.
Bagaimanapun, beliau mendakwa bahawa beliau tidak membuat kesimpulan awal bahawa sebarang kesalahan telah berlaku.
"Saya menyerahkan kepada pihak penyiasat untuk menentukan kesesuaian Akta 193, dan tidak membuat kesimpulan awal bahawa sesuatu kesalahan telah berlaku," katanya.
Dalam pada itu, beliau meminta pengesahan daripada agensi kerajaan berautoriti bagi menentukan sama ada reka bentuk Jalur Gemilang pada pakaian tersebut mematuhi reka bentuk rasmi.
Antara perkara yang diminta diperiksa ialah Bintang Pecah 14 yang lengkap dan betul, susunan warna serta jalur, selain sama ada Jalur Gemilang itu telah diubah, dipinda, diputarbelitkan atau digunakan dalam bentuk yang tidak dibenarkan.
Shahbudin berkata PDRM juga wajar menyiasat sekiranya posting berkenaan mempunyai unsur kesalahan lain seperti penghinaan, provokasi, ancaman atau kandungan palsu.
"Sekiranya hasil siasatan mendapati posting tersebut mengandungi unsur tambahan seperti penghinaan, provokasi, ancaman, kandungan palsu atau perbuatan lain yang merupakan suatu kesalahan di bawah undang-undang Malaysia, saya memohon pihak PDRM turut menyiasat dan mengambil tindakan berdasarkan peruntukan yang bersesuaian," katanya.
Beliau turut meminta siasatan menyeluruh merangkumi identiti pemilik akaun, pihak yang menghasilkan atau memuat naik kandungan, tujuan penggunaan Jalur Gemilang, bentuk penggunaan serta tahap penyebarannya kepada orang awam.
"Saya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak PDRM dan pihak pendakwaan untuk menentukan sama ada terdapat kesalahan dan apakah peruntukan undang-undang yang wajar dikenakan berdasarkan hasil siasatan," katanya lagi.
Sementara itu, kontroversi yang melibatkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Sanusi Md Nor berhubung pemakaian baju bercorak Jalur Gemilang yang tidak lengkap dianggap berakhir apabila syarikat yang mencetak baju berkenaan, Ne Creative Venture, mengakui terdapat kesilapan dalam reka bentuk, dan memohon maaf.
Dalam laporan Malaysiakini, syarikat berkenaan berkata, telah berlaku kekhilafan apabila mereka terpaksa menerima tempahan tambahan pada saat akhir yang kemudian mengakibatkan proses semakan terperinci (quality control) kurang teliti.
"Justeru itu, kami memohon maaf secara terbuka kepada Pejabat Menteri Besar Kedah atas kecacatan teknikal ini dan mengambil tanggungjawab penuh bagi memastikan pembetulan segera dilakukan," katanya.
Terdahulu, tular di media sosial baju Jalur Gemilang yang dipakai Sanusi dalam satu majlis tidak cukup sifat apabila jumlah bucu bintangnya hanya 13 berbanding angka sebenar 14.
Kesilapan itu mengundang kritikan warganet yang menyifatkan pemimpin Pas itu tidak peka dengan perkara berkenaan.
Warganet kemudiannya turut ‘memetik’ nama Ketua Pemuda Umno Malaysia, Dr Akmal Saleh, yang sebelum ini lantang mengkritik salah urus Jalur Gemilang khususnya yang melibatkan negeri ditadbir PH.




Comments