'Serangan Armada Bersatu terhadap Rafizi hanya tin kosong'
- Suara Keadilan
- May 8
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Klang tampil mempersoalkan motif serangan bertali arus yang dilakukan Armada Bersatu terhadap Datuk Seri Rafizi Ramli yang disifatkan seperti tin kosong tanpa fakta yang jelas.
Ketuanya, Mohamad Shahrul Adnan mendakwa serangan daripada Armada Bersatu itu lebih kepada ingin merosakkan imej serta kredibiliti Rafizi yang juga Menteri Ekonomi.
Oleh itu, beliau berkata pihaknya menggesa Armada Bersatu untuk tidak terjebak dalam politik populis murahan yang tidak berasas.
''Politik hari ini menuntut kematangan, kefahaman dasar dan kejujuran, bukannya serangan bertali arus yang hanya bertujuan untuk merosakkan imej dan kredibiliti pemimpin yang bekerja keras demi negara.
''Apakah ia (serangan) ini satu percubaan untuk mengalihkan perhatian daripada kelemahan dalaman mereka sendiri atau satu taktik untuk mencemarkan nama baik pemimpin yang telah berjaya melaksanakan dasar-dasar ekonomi yang berkesan?'' soal beliau menerusi satu kenyataan.
Dalam kenyataan sama, Mohamad Shahrul turut memuji kebijaksanaan Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan dalam membahagikan tugas antara komitmen kerajaan dan parti dengan mengambil cuti untuk menguruskan isu Pemilihan KEADILAN 2025.
''Tindakan Rafizi mengambil cuti sementara daripada tugas kementerian bagi mengurus hal dalaman parti adalah langkah yang telus dan beretika.
''Langkah tersebut bukanlah tanda mengabaikan tanggungjawab, tetapi menunjukkan komitmen beliau terhadap pemisahan urusan parti dan kerajaan.
''Ia merupakan satu prinsip yang penting untuk memastikan integriti dalam pentadbiran negara,'' ujarnya lagi.
Katanya, tindakan Timbalan Presiden KEADILAN itu juga mencerminkan komitmen terhadap prinsip ketelusan dan integriti, tanpa menjejaskan kelangsungan dasar-dasar kementerian yang sedang berjalan.
Mohamad Shahrul berkata, dalam tempoh perkhidmatan, Rafizi dilihat telah memperkenalkan dasar-dasar ekonomi yang progresif dan berpaksikan data.
Oleh itu katanya, keputusan bercuti adalah bersifat sementara dan langsung tidak menjejaskan urusan serta dasar kementerian yang telah dirancang secara sistematik.
Pada 2 Mei lalu, Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim dipetik berkata, tiada isu berbangkit berhubung cuti yang dimohon oleh Rafizi.
Presiden KEADILAN itu menyifatkan, permohonan cuti sebagai perkara biasa bagi seorang pekerja dan beliau juga sedang mencari masa sesuai untuk mengambil cuti.
Comments