Semangat transformasi, ketabahan sempena Tahun Kuda Api
- 3 hours ago
- 1 min read

Aktivis masyarakat, Lai Chen Heng, mengajak komuniti Wangsa Maju, Kuala Lumpur melangkah ke tahun 2026 dengan semangat transformasi dan ketabahan sempena ketibaan Tahun Kuda Api pada Tahun Baharu Cina kali ini.
Mengimbas kembali tahun 2025, beliau menyifatkannya sebagai tempoh yang mencabar susulan ketidakstabilan global, ketegangan antarabangsa, bencana alam serta ancaman siber termasuk penularan berita palsu. Namun begitu, beliau menzahirkan penghargaan atas sokongan berterusan masyarakat Setapak, Wangsa Maju.
"Kesetiaan anda di tengah-tengah gangguan maklumat membuktikan bahawa hubungan kemanusiaan yang ikhlas adalah kekuatan sebenar seorang pemimpin. Ketabahan itulah yang mendorong saya untuk terus berkhidmat," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, komitmen terhadap komuniti turut diperkukuhkan melalui kerjasama erat dengan institusi pendidikan tempatan seperti SJKC Lee Rubber, SJKC Mun Yee, SJKC Wangsa Maju dan SMJK Chong Hwa.
"Sekolah-sekolah ini adalah jantung komuniti. Mereka mendidik generasi masa hadapan yang bakal mewarisi semangat perjuangan kita," ujarnya.
Mengangkat tema Kuda yang Memacu Lari, Lai memaklumkan bahawa sebuah video muzik Tahun Baru Cina bertajuk “Bersamamu Wangsa Maju” telah dihasilkan sepenuhnya oleh pasukan produksi tempatan pada tahun ini sebagai simbol perpaduan komuniti.
Di peringkat nasional pula, beliau menegaskan sokongan padu terhadap visi MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Keupayaan beliau menyatukan jentera negara tanpa menghiraukan gangguan luar adalah kesinambungan kepada semangat Reformasi yang tidak pernah padam. Semangat ini menjadi inspirasi buat kami di Wangsa Maju untuk terus mara," katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat agar membawa kekuatan dan keberanian simbolik Tahun Kuda untuk mencapai matlamat dengan pantas serta penuh keyakinan.





