Semak harga, banding sebelum beli menerusi Price Catcher KPDN
- Helmi Mohd Foad

- 1 hour ago
- 1 min read

Pengguna disaran memanfaatkan platform Price Catcher dibangunkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi menyemak serta membandingkan harga barangan keperluan sebelum membuat pembelian.
Timbalan Menterinya Dr Fuziah Salleh (gambar) berkata, langkah itu penting bagi membantu pengguna membuat pilihan lebih berhemah ketika berdepan perubahan harga barangan yang boleh berlaku dalam tempoh singkat.
Beliau berkata pengguna mungkin mendapati harga barangan yang sama berubah dengan ketara berbanding minggu sebelumnya bergantung kepada lokasi, bekalan dan keadaan pasaran.
"Sebagai pengguna, sudah tentu kita akan tertanya-tanya, apa sebenarnya yang menyebabkan harga itu berubah?
"Hakikatnya, harga barangan memang bersifat dinamik dan boleh berubah mengikut lokasi, bekalan dan keadaan pasaran. Sebab itu, penting untuk kita mempunyai maklumat sebelum membuat keputusan membeli," katanya menerusi hantaran di media sosial.
Menurut Fuziah, Price Catcher KPDN menyediakan kemudahan untuk pengguna menyemak harga semasa barangan keperluan, selain membandingkan harga antara premis dan mengenal pasti pilihan yang lebih berpatutan di kawasan berhampiran.
Kata beliau kemudahan itu membolehkan pengguna membuat perbandingan harga terlebih dahulu sebelum keluar membeli-belah.
"Maksudnya sebelum keluar membeli-belah, kita sudah boleh membuat perbandingan terlebih dahulu sebelum membelinya.
"Sebab itu, saya mahu lebih ramai pengguna membiasakan diri menggunakan kemudahan ini untuk memberi kita lebih banyak peluang membuat pilihan yang sesuai dengan kemampuan kita selain diberi lebih banyak maklumat untuk membuat perbandingan harga," katanya.
Sehubungan itu, Fuziah menggesa pengguna menjadikan semakan harga sebagai amalan sebelum membeli barangan keperluan.
"Jadi sebelum hendak membeli, sila semak dahulu, banding harga dan buat pilihan yang lebih berhemah melalui Price Catcher KPDN," katanya.




Comments