Sekolah kritikal diberi keutamaan penyelenggaraan - Fadhlina
- Azuan Ab Rahman

- 4 hours ago
- 1 min read

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memastikan peruntukan tambahan bagi penyelenggaraan sekolah pada 2027 disalurkan berdasarkan keperluan sebenar, terutama kepada sekolah yang berdepan masalah paling kritikal.
Menterinya, Datuk Seri Fadhlina Sidek (gambar) berkata, tumpuan utama selepas pengumuman peruntukan itu bukan sekadar mengagihkan dana, sebaliknya memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan benar-benar menyelesaikan masalah di sekolah.
"Keutamaan kita jelas. Sekolah yang paling memerlukan mesti diberikan perhatian dan masalah yang paling kritikal mesti didahulukan," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Hantaran itu menyusul selepas beliau mempengerusikan mesyuarat berkaitan peruntukan tambahan penyelenggaraan sekolah susulan pengumuman Perdana Menteri pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 baru-baru ini.
Menerusi amanat tersebut, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan penyelenggaraan semua jenis sekolah bagi tahun 2027 akan ditingkatkan 50 peratus daripada RM1 bilion kepada RM1.5 billion.
Sementara itu menurut Fadhlina, beliau telah mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) di seluruh negara turun padang bagi menilai sendiri keadaan sekolah, selain mendapatkan maklum balas mengenai keperluan paling mendesak.
Selain itu KPM juga diarah mewujudkan saluran khas bagi membolehkan warga sekolah, khususnya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), mengemukakan senarai keperluan untuk pertimbangan kementerian.
"Kadang-kadang apa yang diperlukan sebuah sekolah bukan projek yang besar. Mungkin tandas yang perlu dibaiki, bumbung yang bocor, pendawaian yang uzur atau kemudahan asas yang sudah lama menunggu perhatian.
"Kita mahu dengar terus daripada mereka yang berada di sekolah setiap hari," tambahnya.




Comments