Sasar 30,000 Jualan RAHMAH MADANI, perluas akses beli barang murah
- Helmi Mohd Foad
- 2 hours ago
- 1 min read

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan pelaksanaan 30,000 siri Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) di seluruh negara sepanjang tahun ini bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat akses kepada barangan keperluan harian pada harga lebih berpatutan.
Timbalan Menterinya Fuziah Salleh berkata, sasaran itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk terus membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat melalui pelaksanaan program berkenaan.
Terdahulu beliau meninjau pelaksanaan PJRM di KRT Rasah Tengah A, Seremban, Negeri Sembilan hari ini.
"Alhamdulillah, sambutannya sangat menggalakkan. Melihat orang ramai pulang dengan senyuman sambil membawa barangan keperluan pada harga lebih rendah adalah sesuatu yang cukup menggembirakan hati saya," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata kejayaan pelaksanaan Program Jualan RAHMAH MADANI turut disokong rangkaian rakan strategik yang semakin berkembang di seluruh negara.
Sehingga kini, katanya, KPDN mempunyai 2,665 rakan strategik dalam program berkenaan, termasuk 609 kedai runcit dan 35 koperasi yang membantu memastikan manfaat jualan itu dapat dinikmati rakyat di pelbagai lokasi.
"Kerjasama inilah yang membolehkan manfaat program ini sampai terus kepada rakyat," katanya.
Fuziah berkata KPDN akan terus memperluaskan pelaksanaan Program Jualan RAHMAH MADANI agar lebih ramai rakyat Malaysia dapat menikmati barangan keperluan pada harga berpatutan sekali gus membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup.
"Insya-Allah, KPDN akan terus memperluaskan Program Jualan RAHMAH MADANI supaya lebih ramai rakyat Malaysia menikmati manfaatnya dan kos sara hidup dapat terus diringankan," katanya.
