top of page

Sambutan Merdeka Madani DUN Inderapura: 500 Jalur Gemilang dikibar

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 50 minutes ago
  • 2 min read
Komuniti Kejiranan Seri Inderapura meluncurkan perasmian Sambutan Merdeka Madani DUN Inderapura 2026
Komuniti Kejiranan Seri Inderapura meluncurkan perasmian Sambutan Merdeka Madani DUN Inderapura 2026

Komuniti Kejiranan Seri Inderapura meluncurkan perasmian Sambutan Merdeka Madani DUN Inderapura 2026 baru baru ini di Dewan Sri Inderapura, Kuantan.


Program kerjasama Kementerian Perpaduan Negara dan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (APPGM-SDG) itu telah disempurnakan oleh Pegawai Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) Daerah Kuantan, Nur Izzati Rahamad. Turut hadir Ahli Majlis Bandaraya Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi dan Pengerusi NGO Wanita Inspirasi Kuantan, Sridayu Samsuri.


Kemuncak kepada sambutan ialah Program Semarak Merdeka Madani Inderapura 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 5 dan 6 September 2026 kelak.


Salah satu acara penting dalam majlis peluncuran ialah pelancaran Skuad Perpaduan Inderapura (SUPER). Skuad ini dianggotai oleh Ketua dan Wakil Lorong serta pemimpin komuniti yang meliputi 60 buah lorong di Taman Seri Inderapura, 5 lorong di Taman Bunut Rendang Jaya serta 15 lorong di Perkampungan Nelayan Bunut Rendang. Antara yang hadir ialah Pengerusi KRT Taman Seri Inderapura, Ahmad Yussri Abdul Rashid, Timbalan Pengerusi Masjid Al-Ittifaqiyyah Taman Seri Inderapura, Rashid Ahmad, Pengerusi KRT Taman Bunut Rendang Jaya, Marwan Abdullah dan Pengerusi Pertubuhan Keceriaan, Keselamatan dan Rekreasi Seri Inderapura (PEKERTI), Azmi Ahmad.


Fakhrul Anuar menghulurkan vest kepada Skuad Perpaduan Inderapura
Fakhrul Anuar menghulurkan vest kepada Skuad Perpaduan Inderapura

Bagi melambangkan semangat patriotik, para peserta skuad telah dibekalkan vest berwarna merah yang merupakan salah satu warna pada bendera Malaysia.


Menurut Fakhrul Anuar, Kejiranan Seri Inderapura merupakan salah satu daripada 50 komuniti di seluruh Malaysia yang menerima geran kejiranan daripada APPGM-SDG sejak tahun 2024 lagi.


"Dengan kepelbagaian kaum dan agama dalam komuniti ini, Sambutan Merdeka Madani kali ini diharapkan dapat mengukuhkan lagi keharmonian, kesepaduan dan semangat kerjasama kejiranan di sini," ujarnya yang juga Ketua KEADILAN Cabang Kuantan.


Program peluncuran diakhiri dengan simbolik pemasangan 500 batang bendera Jalur Gemilang di sepanjang 2 buah jalan utama dalam komuniti yang mempunyai anggaran penduduk sekitar 10,000 orang ini.


Pemasangan bendera secara beramai-ramai itu mencerminkan semangat cinta akan negara dan kesediaan komuniti menyambut bulan kemerdekaan dengan penuh meriah dan bermakna.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page